Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) akan terus memberikan sokongan serta bersedia untuk membantu pengurusan baharu Malaysian Football League (MFL) demi memperkasakan liga bolasepak tempatan pada masa akan datang.

Itulah respons pantas Timbalan Presiden FAS, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang tanpa berselindung mengakui pihaknya sentiasa optimis dengan keupayaan MFL dalam urus tadbir Liga Malaysia pada musim depan.

Apa yang pasti, Shahril percaya antara cadangan untuk membantu pengurusan baharu MFL yang bertindak melantik Datuk Ghani Ab Hassan sebagai pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, agar mengadakan lebih banyak sesi pertemuan antara MFL dan semua rakan kongsi.

FAS
Datuk Hamidin Mohd Amin

Jelasnya lagi, perkara itu juga dilihat menjadi agenda utama Presiden MFL, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin dalam Mesyuarat Rakan Kongsi Luar Biasa MFL (EGM) pada Sabtu lalu yang menyaksikan beliau inginkan semua rakan kongsi tidak lokek meluahkan rasa isi hati berhubung sebarang masalah agar sama-sama lebih matang dalam mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Seperti yang saya kata, kami nampak MFL sekarang sudah bersikap terbuka dengan semua rakan kongsi untuk menjelaskan setiap perkara yang mungkin tidak jelas.

“Saya harap sepertimana Presiden MFL katakan bahawa selepas ini akan lebih banyak sesi perjumpaan dibuat untuk kita sama-sama meluahkan rasa isi hati dan kami juga boleh memberi pandangan serta idea untuk turut sama membantu MFL.

“Perkara terbaik yang saya dapat lihat ketika ini adalah sikap ketelusan dan keterbukaan daripada MFL yang sentiasa bersemuka dengan rakan kongsi untuk kami sama-sama berbincang dan harap ia dapat diteruskan dengan lebih kerap selepas ini”, katanya.

FAS
Sumber Gambar: MFL

Shahril mendedahkan pihaknya sentiasa terbuka kepada aspek positif selepas Hamidin telah mengumumkan ketiadaan baki kedua hak penyiaran selepas MFL tidak mendapat pendapatan hak penyiaran seperti dirancang untuk diagihkan kepada semua rakan kongsi.

Mengulas lanjut, Shahril enggan lagi melihat perkara itu sebagai satu masalah yang perlu dibangkitkan setiap masa kerana FAS akan terus mengorak langkah mempersiapkan skuad terbaik pada musim hadapan selain beliau turut memahami cabaran yang telah diharungi MFL pada tahun 2019 tanpa penaja utama.

“Berhubung isu hak penyiaran ini, kami di FAS sudah memandang ke hadapan untuk persiapan musim 2020 dan saya mahu melihat perkara-perkara yang positif sahaja.

“Dan saya rasa pihak MFL sendiri sudah memberi penerangan yang cukup jelas mengenai apa yang sudah berlaku dan mereka juga mahu bertentang mata dengan semua rakan kongsi untuk sama-sama menuju ke arah lebih baik memperkasakan liga bolasepak di Malaysia”, jelasnya.

Baca artikel lain mengenai MFL di sini:

Kegagalan MFL Lunaskan Baki Hak Penyiaran Beri Kesan Terhadap Pasukan

Pemegang Taruh Masih Percaya Dengan Kredibiliti MFL

MFL Sahkan Baki Kedua Hak Penyiaran Tidak Dapat Diagihkan