Kehadiran bersama Kelantan FC musim 2022 diharap dapat membuka lembaran baharu buat bekas pemain Kedah dan Perak, Muhd Farhan Roslan selepas beberapa musim yang mencabar dalam karier.
Bagaimanapun, menurut pemain berusia 25 tahun berkenaan tidak mahu terlalu memberikan tekanan kepada dirinya dengan meletakkan sebarang sasaran peribadi bersama Kelantan sebaliknya lebih mahu berikan tumpuan mendapatkan rentak serta memburu minit permainan.
Tambahnya, kesukaran untuk bermain terutama dalam dua musim terakhir masih dirasai dan berharap situasi yang sama tidak lagi akan berlaku di Kelantan.
“ Sebelum musim ini berakhir, saya sebenarnya sudah mendapat tawaran dari Kelantan dan setelah berbincang dengan keluarga, saya buat keputusan untuk datang ke sini.
“ Saya sahut cabaran ini adalah kerana mahu mendapat pengalaman baharu dan paling penting meraih seberapa minit permainan bagi membina semula keyakinan serta mencari kembali momentum seperti dahulu.
“ Masa di Perak, sebenarnya saya tidak alami sebarang kecederaan yang membuatkan saya terpaksa berehat lama cuma mungkin bukan rezeki saya untuk bermain kerana seperti tidak berada dalam perancangan pasukan.
“ Tidak ada sebarang sasaran peribadi buat diri ini seperti jumlah jaringan atau bantuan jaringan mahu dilakukan, sebaliknya saya hanya janjikan mahu berikan terbaik serta bekerja keras jika diturunkan, ” katanya.
Farhan yang sebelum ini diberi jolokan sebagai ‘Messi Kedah’ semasa pembabitan awalnya pada tahun 2014, menjadi antara pemain yang sering kali diberi perhatian oleh peminat.
Bagaimanapun, masalah kecederaan sering kali memberikan kesan terhadap Farhan sepanjang tujuh musim di Kedah yang membantutkan peluangnya untuk menyerlah selain kebanjiran bakat-bakat muda.
Musim lalu di Perak, dia yang dipinjamkan dari Kedah diturunkan dalam lapan perlawanan dan berjaya menjaringkan satu gol ketika membantu pasukannya membenam Sri Pahang 2-0.
Sementara itu, Farhan mengakui kehadiran beberapa bekas pemain Kedah seperti Khairul Helmi Johari, Osman Yusoff dan Shahrul Igwan Samsudin juga sesuatu yang positif namun perkara itu tidak menjadi keutamaan.
Tambah Farhan, dia boleh beraksi dengan sesiapa sahaja yang menjadi rakan sepasukannya sambil berasakan semakin serasi dengan pemain-pemain lain yang berada di Kelantan.
“ Bagi saya kehadiran rakan-rakan lama semasa di Kedah tidak memberikan apa-apa perbezaan kerana pemain lain juga umpama satu keluarga apabila saya rasmi bersama Kelantan.
“ Apa yang menyatukan kami adalah kami mahu buat merealisasikan impian Kelantan bermain di Liga Super pada musim 2023, itu jadi sasaran utama saya di sini, ” tambah Farhan Roslan lagi.