Ketua jurulatih Sri Pahang, Fandi Ahmad mengakui tidak puas hati dengan prestasi pemainnya walaupun berjaya mengutip 3 mata penuh ketika aksi Liga Super menentang Kelantan United semalam.
Tok Gajah terpaksa terhempas pulas menewaskan pasukan tercorot itu dan perlu menungggu sehingga minit akhir perlawanan untuk menjaringkan gol menerusi tandukan Stefano Brundo.
Menurut Fandi, anak buahnya gagal mempamerkan corak permainan seperti yang diharapkan dan kelihatan tidak bermaya sejak minit pertama perlawanan.
“Tiada persefahaman, lesu dan tidak bermaya serta terlalu yakin apabila berdepan dengan pasukan yang berada di kedudukan terbawah liga menyebabkan mereka gagal bermain dengan baik.
“Bagi saya aksi pada separuh masa pertama dan kedua berbeza apabila mereka bangkit dan tidak berputus asa hingga menjaringkan gol pada masa kecederaan.
“Secara keseluruhannya saya tidak berpuas hati dengan prestasi pasukan tetapi gembira kerana kita berjaya mengutip tiga mata di tempat sendiri,” katanya seperti dipetik dalam Berita Harian.
📹 HIGHLIGHTS: @OfficialPahang 1-0 Kelantan United FC
Stefano Brundo muncul wira Sri Pahang FC dengan menjaringkan gol kemenangan pada penghujung perlawanan.
👉 https://t.co/EhzeLHV75w#LigaSuper2023 #DemiLigaKita pic.twitter.com/yKENyR5uO3
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 10, 2023
Malah, ketiadaan dua pemain iaitu Sergio Aguero dan Kevin Ingreso yang tidak diturunkan disebabkan kecederaan turut memberikan kesan kepada corak permainan mereka.
“Kita harap semua pemain dapat meningkatkan prestasi masing-masing untuk beraksi lebih baik pada perlawanan seterusnya,” katanya.
Keputusan itu membantu melonjakkan kedudukan Sri Pahang ke tangga ketiga Liga Super dan masih mengekalkan rekod tanpa kalah setakat ini.
Selepas ini, mereka bakal berdepan tugas sukar apabila dijadualkan menentang Selangor di pusingan kedua Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).