Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini mengumumkan Garis Panduan Pelarasan Gaji FAM iaitu berkaitan penetapan kadar pemotongan gaji pemain dan pegawai untuk mana-mana pasukan atau kelab bertanding yang masih gagal mencapai persetujuan bersama selepas tamat tarikh akhir yang ditetapkan pada 22 April 2020.

Seperti yang semua maklum, pasukan atau kelab yang bertanding telah menghadapi bebanan kewangan yang cukup besar kesan daripada pandemik COVID-19 ini dan atas dasar itu, FAM mahu membantu kestabilan kewangan mereka sepanjang tempoh penangguhan Liga Malaysia 2020 ini.

Namun pada masa yang sama, FAM juga mahu kebajikan pemain dan pegawai turut dijaga iaitu dengan memastikan supaya pasukan atau kelab tidak mengambil kesempatan atau peluang ini untuk melakukan pemotongan gaji dengan sewenang-wenangnya terhadap para pemain dan pegawai pasukan masing-masing.

Mengambil kira situasi di atas, FAM selaku badan induk bola sepak di negara ini perlu mengambil langkah dan tindakan segera bagi memastikan kestabilan industri bola sepak di Malaysia secara keseluruhannya dapat dilindungi dalam kita berdepan dengan situasi yang tidak dijangka ekoran pandemik COVID-19 ini.

Langkah ini dibuat sebagai menghormati pekeliling dan garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada 7 April 2020 supaya ahli-ahli gabungannnya termasuk FAM mengetuai dan membantu dalam usaha mencari penyelesaian terbaik untuk keluarga bola sepak di negara masing-masing sepanjang kita semua di seluruh dunia menghadapi situasi yang tidak menentu akibat pandemik COVID-19 ini.

Selain itu, FAM juga sentiasa berhubung rapat dengan FIFA dan juga Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi mendapatkan nasihat dan pandangan daripada mereka yang merupakan sumber rujukan utama bagi bola sepak dunia dan Asia dalam memastikan kami di FAM dapat menjalankan tugas sebaik mungkin ke atas semua ahli gabungan kami di sini.

Untuk makluman semua, penetapan garis panduan ini terpaksa juga dibuat selepas berakhirnya tempoh dua minggu yang diberikan oleh FAM kepada semua pasukan atau kelab berkenaan iaitu dari 9 April 2020 hingga 22 April 2020 untuk mereka melakukan Langkah 1 iaitu mencapai persetujuan bersama di antara pemain dan pegawai pasukan masing-masing berhubung status penggajian dalam kontrak.

Selain itu, Langkah 2 yang ditetapkan FAM ialah meminta supaya badan pengendali Liga Malaysia iaitu MFL mengadakan perbincangan bersama dengan Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).

Seterusnya FAM mengorak ke Langkah 3 iaitu menyediakan garis panduan ini yang melibatkan pasukan atau kelab dalam semua pertandingan di bawah kelolaan MFL dan FAM.

Berikut adalah antara butiran yang terkandung dalam Garis Panduan Pelarasan Gaji FAM tersebut:

1. KELAYAKAN PASUKAN UNTUK MENGGUNA PAKAI GARIS PANDUAN INI

a) Semua persetujuan bersama yang telah pun dicapai dan dipersetujui sebelum ini oleh pemain dan pegawai di peringkat pasukan atau kelab mengikut peratusan yang telah ditetapkan perlu dihormati dan dilaksanakan oleh semua pihak dan tidak perlu mengikut garis panduan ini yang adalah khusus untuk pasukan atau kelab yang belum atau gagal mencapai persetujuan bersama.

Sebagai contoh, Pasukan A yang telah mencapai persetujuan untuk pemotongan gaji pemain dan pegawai sebanyak 10 peratus tidak boleh secara tiba-tiba mahu mengubah pula peratusannya mengikut kadar maksimum yang ditetapkan dalam garis panduan ini dan begitu juga pemain dan pegawai dari Pasukan B yang telah bersetuju untuk pemotongan gaji sebanyak 40 peratus sebelum ini tidak boleh secara tiba-tiba mahu mengikut pula kadar peratusan maksimum seperti ditetapkan dalam garis panduan ini. Perjanjian yang telah dicapai di peringkat pasukan atau kelab itu perlu diteruskan mengikut apa yang telah pun dipersetujui secara bersama.

b) Pasukan atau kelab yang masih belum melengkapkan pembayaran gaji pemain dan pegawai sehingga gaji bulan Mac 2020 tidak dibenarkan untuk melaksanakan pemotongan gaji ini, kecuali jika mereka telah pun mendapat persetujuan bersama daripada pemain dan pegawai untuk membenarkan ia dilakukan.

c) Garis panduan ini turut menetapkan bahawa pasukan atau kelab yang tidak perlu melakukan pemotongan gaji kerana kedudukan kewangannya yang kukuh dan terdapat pertimbangan lain hendaklah dikecualikan daripada pelaksanaan pemotongan ini.

2. KADAR MAKSIMUM DAN TEMPOH PEMOTONGAN

a) Kadar maksimum pemotongan gaji yang dibenarkan mengikut garis panduan ini adalah sebanyak 30 peratus yang mana ia dianggap adil dan setara berdasarkan situasi kewangan pasukan atau kelab.

b) Kaedah kadar pemotongan gaji maksimum ini dibahagikan kepada empat kategori seperti berikut:

Kategori 1: RM4,999 dan ke bawah = Pemotongan 10 peratus

Kategori 2: RM5,000 – RM9,999 = Pemotongan 15 peratus

Kategori 3: RM10,000 – RM14,999 = Pemotongan 20 peratus

Kategori 4: RM15,000 dan ke atas = Pemotongan 30 peratus

c) Bagaimanapun, sebarang penambahan peratusan atau jumlah pemotongan gaji yang melebihi kadar 30 peratus itu perlu dikira sebagai penangguhan pembayaran dan ia adalah berdasarkan persetujuan bersama selepas perbincangan secara muhibah di antara pasukan atau kelab, pemain dan pegawai.

d) Berhubung tempoh pemotongan gaji, ia adalah bermula dari April 2020 sehingga gaji bulan berikutnya selepas tarikh saingan Liga Malaysia 2020 disambung semula.

e) Pemotongan gaji seperti di atas adalah bermula dari April 2020 bagi Kategori 1, 2 dan 3 manakala bagi Kategori 4, pemotongan gaji April 2020 adalah sebanyak 25 peratus sahaja dan pemotongan sebanyak 30 peratus itu hanya akan bermula gaji Mei 2020 dan seterusnya.

Sebagai contoh, jika saingan disambung semula pada Julai 2020, gaji bulan berkenaan masih dipotong dan gaji penuh hanya akan bermula gaji Ogos 2020. Jika saingan bersambung pada Ogos 2020, maka gaji penuh hanya akan bermula gaji September 2020.

3. PERKARA-PERKARA LAIN

a) FAM mempunyai hak untuk menyelaraskan semula kadar peratusan pemotongan gaji ini berdasarkan situasi semasa kewangan membabitkan industri bola sepak tanah air pada bila-bila masa yang dirasakan perlu nanti.

b) Jika terdapat keperluan untuk tempoh pertandingan dilanjutkan melewati tempoh akhir kontrak bagi memastikan musim Liga Malaysia 2020 dapat dilengkapkan, kontrak pemain dan pegawai akan dilanjutkan dengan serta merta sehingga berakhirnya pertandingan musim 2020 ini.

Setiap tindakan yang diambil berhubung hal pemotongan gaji hendaklah dibuat berdasarkan perkadaran dan situasi kewangan Pasukan masing-masing. Pasukan atau kelab diingatkan supaya mematuhi Garis Panduan Isu Peraturan Bola Sepak Berkaitan COVID-19 yang dikeluarkan FIFA pada 7 April 2020, serta Statut FIFA dan Statut FAM.

FAM juga telah menubuhkan satu unit khas membabitkan kakitangan Sekretariat Agung FAM dari Unit Undang-Undang, Unit Pelesenan Kelab, Unit Pertandingan dan Unit Sains Sukan untuk berhubung dan berkomunikasi dengan mana-mana ahli gabungan dan kelab, pemain dan pegawai bagi membantu dari segi proses dan pelaksanaan garis panduan ini; penyelarasan maklumat dan Tatacara Operasi Standard (SOP) berkaitan COVID-19 daripada KBS, KKM dan MKN serta turut akan sentiasa berhubung dengan FIFA dan AFC sebagai rujukan bagi apa-apa perkara dan tindakan yang dibuat.

Untuk itu, FAM berharap agar semua pihak terutamanya pemain dan pegawai dapat memahami situasi semasa dihadapi negara berikutan arahan PKP sejak lebih sebulan lalu yang telah memberi kesan kepada kelangsungan kewangan pasukan atau kelab yang beraksi dalam Liga Malaysia 2020.

Teruskan membaca 3 artikel padu lain berkaitan bola sepak dibawah yang dipilih untuk anda.

Kembar Kacukan Malaysia-Australia Kini Beraksi Dengan Skuad Remaja FC Den Bosch, Kelab Liga Divisyen 2 Belanda

Media Vietnam Mula Terbayang Aksi Bertemu Malaysia Yang Dibarisi 8 Pemain Kacukan Dan Naturalisasi

Kobe Chong Beri Bayangan Beraksi Bersama Skuad Harimau Malaya