Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi laman sesawang rasmi badan induk bola sepak tanah air itu sebentar tadi telah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung peletakan jawatan Setiausaha Agung, Mohd Saifuddin Abu Bakar.

Mohd Saifuddin yang mula memegang jawatan tersebut pada 1 September 2021 difahamkan terpaksa melepaskan tanggungjawab di FAM kerana ingin memberikan tumpuan terhadap kerjayanya di peringkat antarabangsa.

Berusia 61 tahun, Mohd Saifuddin yang menggantikan Stuart Ramalingam sebagai Setiausaha Agung FAM akan meneruskan tugasannya sehingga  31 Ogos nanti.

FAM dalam pada itu turut merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Mohd Saifuddin atas khidmat cemerlang beliau sepanjang bersama FAM.

Saifuddin Abu Bakar Dilantik Sebagai Setiausaha Agung FAM Yang Baharu

Antara khidmat yang pastinya akan terus dikenang ialah penganjuran perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Jun lalu yang membawa skuad Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2023.

Mohd Saifuddin mula menceburi bidang tadbir urus bola sepak sebagai Pegawai Pembangunan Teknikal dan Remaja Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pada 1991.

FAM Umum Jualan ‘Tiket Kombo RM100’ Aksi Kelayakan Piala Asia 2023

Kemudiannya beliau menjawat tugasan di pelbagai unit dalam FAM dari 1995 hingga 2003 termasuk sebagai Ketua Jabatan Pertandingan dan kemudian menyertai Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebagai Pegawai Pertandingan dan Pengurusan Acara Serantau dari 2003 hingga 2007.

Berasal dari Melaka, Mohd Saifuddin kemudiannya kembali ke FAM sebagai Penolong Setiausaha Agung dari 2007 hingga 2009 sebelum berhijrah ke Timur Tengah untuk menjadi Penolong Ketua Pertandingan Qatar Stars League.

Kemudiannya beliau berkhidmat pula sebagai perunding teknikal Oman FA dengan skop tugas selaku Pengurus Pertandingan Liga dan Pelesenan Kebangsaan dari 2012 hingga 2019.

Selain itu, Mohd Saifuddin juga merupakan Komisioner Perlawanan bagi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Sumber