Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mempertimbangkan untuk mencalonkan jaringan dua pemain JDT, Safawi Rashid dan Fernando Forestieri ke Anugerah Puskas FIFA tahun ini.
Baca Juga:
- Media Antarabangsa Anggap Gol Safawi Rasid Layak Untuk Anugerah Puskas
- Ini Dia Pemenang Puskas, Gol Hasil Libasan Pemain Kelainan Upaya Marcin Oleksy
- FIFA Iktiraf Gol Sean Selvaraj, Layak Untuk Anugerah Puskas?
Perkembangan itu disahkan oleh Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman menerusi laporan dalam Harian Metro.
“Mengenai gol Safawi, minggu depan saya akan balik ke Kuala Lumpur dan kita (Jawatankuasa Teknikal) akan menilai gol itu untuk dipertimbangkan ke Puskas,” katanya.
Safawi mencuri tumpuan kelmarin apabila melakukan jaringan yang menarik ketika aksi persahabatan antarabangsa, Malaysia menentang Kepulauan Solomon di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.
Beliau melakukan kawalan bola yang memukau sekaligus melepaskan rembatan dengan kaki kiri untuk gol ketiga negara.
Safawi menghadiahkan jaringan tersebut untuk isterinya yang kini sedang mengandung enam bulan dan itu adalah sebab utama beliau meraikan jaringan tersebut dengan memasukkan bola ke dalam baju.
Jaringan tersebut turut menarik perhatian media antarabangsa, Bleacher Report yang berpendapat ia layak dicalonkan untuk anugerah Puskas FIFA.
Selain jaringan Safawi, FAM juga akan mencalonkan jaringan sepakan gunting Fernando Forestieri ketika JDT menentang Terengganu FC dalam aksi Liga Super baru-baru ini.
“Ia gol Forestieri juga kita akan bincangkan nanti bersama gol Safawi,” tambah Noor Azman.
Malaysia cukup popular dengan Anugerah Puskas dimana ada pemain tempatan yang pernah memenangi gelaran tersebut.
Faiz Subri menjadi pemain Malaysia pertama yang memenangi Anugerah Puskas pada 2016 menerusi jaringan melawan hukum fizik yang dilakukannya ketika aksi Liga Super menentang Sri Pahang.