Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Mohd Amin mengesahkan pihaknya bakal mengadakan pertemuan dengan Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) bagi membincangkan program latihan membabitkan pemain negara di kelab-kelab di bawah Liga Korea (K-League) minggu hadapan.
Katanya dalam laporan Bernama, ia adalah kesinambungan salah satu usaha dibuat pihaknya sebelum ini yang mengadakan kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) untuk membolehkan pemain Malaysia menimba ilmu bersama kelab-kelab JFA.
“Kita tahu Jepun dan Korea Selatan adalah salah satu contoh ataupun pasukan yang berdisiplin tinggi dan negara ini telah layak ke Piala Dunia secara berterusan. Jadi ini perlu dicontohi tetapi kita harus juga bersabar dan terus berusaha,” katanya.
Ketika ini, 6 pemain daripada skuad Malaysia bawah 18 tahun (B-18) sedang mengikuti latihan peringkat pertama dengan kelab liga divisyen 1 Jepun, Cerezo Osaka sehingga 13 September ini. Mereka adalah Luqman Hakim, Muhammad Firdaus Kaironnisam, Harith Haiqal Adam Afkar dan Ali Imran Sukari.
Dua lagi pemain iaitu Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dan Ahmad Zikri Mohd Khalili bersama Luqman Hakim sekali lagi akan menjalani latihan peringkat kedua di JFA Academy dan FC Tokyo pada Oktober nanti.
Penempatan pemain berkenaan di negara matahari terbit ini bertujuan memberi pendedahan, pengalaman dan peluang untuk mereka membiasakan diri dengan corak latihan dan permainan, serta cara hidup di sana jika mereka terpilih atau berpeluang untuk beraksi di Liga Jepun pada masa akan datang.
“Jadi di sini, komitmen daripada pemain perlu kita tagih supaya mereka bersedia bermain di luar negara dan meninggalkan keluarga untuk mendapatkan sesuatu perkara yang berlainan,” katanya.
Meskipun ia sekadar program latihan, Hamidin juga mahu semua pihak memahami inti pati Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani antara FAM dan JFA.
“Dua minggu itu adalah untuk tempoh percubaan dan memberi pendedahan kepada pemain-pemain muda ini tentang bagaimana kelab-kelab profesional di Jepun bermain.
“Kalau kita tidak berusaha melakukannya (MoU), kita tidak akan dapat, malah bukan senang untuk kita buat permintaan dengan kelab profesional untuk mengadakan kerjasama,” katanya.
Jangan lepaskan peluang untuk membaca artikel menarik tentang skuad Malaysia B-18. Klik pautan dibawah:
6 Pemain Muda Malaysia Berguru Di Jepun Bersama Cerezo Osaka, FC Tokyo Dan JFA Academy
Bojan Hodak Anggap Skuad Malaysia B-18 Masih Jauh Ketinggalan