Hari ini Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) telah menjalankan undian kelayakan Piala Asia B-23 2022. Sebanyak 42 pasukan bertanding telah dibahagikan ke dalam 11 kumpulan iaitu enam kumpulan bagi Zon Barat dan lima kumpulan bagi Zon Timur.

Malaysia diundi bersama Thailand, Laos dan Mongolia dalam Kumpulan J yang akan berlangsung di Mongolia dari 27 hingga 31 Oktober 2021 bagi merebut 15 slot terbaik bersama tuan rumah, Uzbekistan ke pusingan akhir edisi kelima kejohanan tersebut di Tashkent.

Bagi  menghadapi saingan kelayakan kali ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah memutuskan untuk menghantar kelompok pemain berusia bawah 20 tahun yang dikendalikan oleh jurulatih dari Australia, Brad Maloney.

SkuadB-19
FOTO: FAM

Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee berkata, ini merupakan program jangka panjang FAM bagi skuad B-23 kebangsaan menghadapi kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis yang mana barisan pemain yang perlu dipersiapkan ke arah itu adalah dari skuad B-20 kebangsaan.

“Keputusan ini telah pun dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM sebelum ini dan seterusnya mendapat persetujuan dan kelulusan daripada Jawatankuasa Eksekutif FAM.

“Kelompok pemain ini (berusia 20 tahun dan ke bawah) akan kita sediakan lebih awal bermula tahun ini bagi menghadapi dua kitaran pusingan kelayakan iaitu Kelayakan Piala Asia B-23 2022 pada Oktober ini dan Kelayakan Piala Asia B-23 2024 pada tahun 2023, selain dua edisi Sukan SEA iaitu di Vietnam pada 2021 (telah ditunda ke 2022) dan di Kemboja pada 2023.

“Jadi kelompok pemain ini akan diberikan lebih banyak pendedahan dan persiapan jangka panjang yang lebih awal bagi kempen kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 itu termasuk beraksi pada Kelayakan Piala Asia B-23 2022 ini serta kejohanan-kejohanan lain bagi peringkat usia B-22 atau B-23 yang akan datang,” kata Kim Swee.

Datuk Ong Kim Swee
FOTO: FAM

Juara setiap kumpulan iaitu 11 pasukan akan disertai empat pasukan tempat kedua terbaik kumpulan dan juga tuan rumah, Uzbekistan bagi membentuk 16 pasukan terbaik bakal beraksi pada Piala Asia B-23 2022 yang dijadual berlangsung di Tashkent pada Jun 2022.

Sebagai rekod, Piala Asia B-23 sebelum ini dikenali sebagai Kejuaraan B-23 AFC yang mana pada empat edisi terdahulu sejak 2013, Malaysia hanya sekali berjaya melepasi saingan kelayakan dan layak ke pusingan akhir pada 2018 di China dengan mara sehingga suku akhir sebelum tewas kepada Republik Korea.

“Bagi undian kali ini, bukan bermakna laluan mudah dalam Kumpulan J ini kerana kita kena faham yang kita menghantar skuad B-20. Apa yang lebih penting, pendedahan kepada para pemain ini untuk mereka dipersiapkan menjelang saingan kelayakan seterusnya pada 2023.

“Kita akan bertemu Laos pada perlawanan pertama yang mana mereka merupakan lawan biasa kita dalam kejohanan di Asia Tenggara. Tapi tak boleh ambil mudah kerana mereka menunjukkan peningkatan sejak kebelakangan ini.

“Perlawanan kedua, Mongolia. Sudah tentu juga bukan perlawanan yang mudah kerana kita tahu mereka berkelebihan selaku pasukan tuan rumah manakala perlawanan ketiga, Thailand merupakan musuh tradisi kita dan juga pencabar utama.

“Jadi kita perlu bersiap sedia dengan persiapan yang lebih baik untuk layak ke pusingan akhir dan jika berjaya layak, ia satu bonus untuk para pemain skuad B-20 ini didedahkan dengan kejohanan yang lebih tinggi sebelum kita ke kelayakan seterusnya pada 2023.

“Mengenai persiapan pasukan menjelang saingan kelayakan pada Oktober ini, sudah tentu Brad (Maloney) mempunyai perancangannya yang mana beliau akan mengumpulkan para pemain bagi kem latihan pusat pada jendela FIFA yang akan datang ini,” jelas Kim Swee.

Malaysia akan membuka tirai saingan bertemu Laos pada 27 Oktober 2021, diikuti aksi kedua berdepan tuan rumah, Mongolia pada 29 Oktober 2021, sebelum menentang Thailand pada aksi terakhir pada 31 Oktober 2021.

Baca artikel lain mengenai perkembangan pasukan kebangsaan melalui pautan dibawah. 

Brad Maloney Harap Wan Kuzri Dapat Sertai Kem Latihan Pusat Skuad Malaysia B-19 Pada Januari 2021

3 Pemain Malaysia Tersenarai Dalam ‘FIFA Century Club’, Soh Chin Ann Bakal Menerajui Senarai Jika Diluluskan

Pemain Malaysia Kutip 20 Kad Kuning Dalam 8 Perlawanan, Mata ‘Fair-Play’ Ke-2 Paling Banyak Di ASEAN