Pengendali dari Korea Selatan, Kim Pan Gon dijangka akan terus membimbing Harimau Malaya sehingga tahun depan apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedang mempertimbangkan untuk menyambung kontraknya.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata Kim Pan Gon telah pun merangka program untuk tahun depan dan mendapat sokongan FAM untuk terus memajukan skuad kebangsaan.

“Sudah ada perbincangan (lanjutan kontrak) tetapi biarlah kita selesaikan kempen Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia dulu.

“Memang betul beliau (Kim Pan Gon) akan terus dapat peluang bawa pasukan kebangsaan kerana beliau telah merangka segala program sehingga tahun depan,” kata Noor Azman.

Kontrak bekas jurulatih Hong Kong itu akan berakhir pada Februari atau Mac tahun 2024 namun mempunyai pilihan lanjutan dua tahun lagi.

Skuad Harimau Malaya mengalami peningkatan mendadak dari segi kedudukan ranking FIFA sejak dikendalikan oleh Kim Pan Gon.

Berdasarkan rekod, Malaysia hanya tewas sekali dalam 8 aksi persahabatan antarabangsa yang diaturkan sejak bulan Mac 2023.

Selain itu, Kim Pan Gon turut membantu Harimau Malaya layak secara merit ke Piala Asia di Qatar pada Januari depan serta  hampir mengejutkan dua pasukan dalam kedudukan ranking 100 dunia iaitu China dan Syria.

Jika kontraknya disambung, sasaran baharu bakal menanti beliau iaitu merebut slot ke Piala Asia 2027 yang berlangsung di Arab Saudi nanti.

Malah, Malaysia juga berpeluang merebut lapan slot Piala Dunia 2026 yang diberikan kepada benua Asia sekaligus menetapkan hala tuju baharu untuk mengubah dimensi, budaya dan mentaliti dalam ekosistem bola sepak di Malaysia.

Skuad negara kini mempunyai tempoh dua bulan untuk membuat persiapan bagi menghadapi kejohanan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Doha, Qatar pada Januari tahun depan.