Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam mengesahkan pihaknya merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa menentang pasukan di ranking FIFA ke 99 dunia iaitu Bahrain pada 2 Oktober ini.

Ia adalah sebahagian daripada persiapan skuad Harimau Malaya sebelum menghadapi kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang UAE di Dubai pada 8 Oktober dan Vietnam di Bukit Jalil pada 13 Oktober.

Menurut kenyataannya dalam Bernama, perlawanan persahabatan itu akan berlangsung jika mendapat kebenaran rasmi daripada pihak kerajaan untuk ke luar negara memandangkan sekatan perjalanan masih dikenakan bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19.

“Baru-baru ini, FAM dan Bahrain FA sudah mencapai persetujuan secara lisan untuk mengadakan aksi persahabatan di tempat lawan, namun kita perlu menunggu lampu hijau daripada kerajaan sebelum terbang ke sana.

“Ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe dijangka memanggil beberapa pemain bagi menjalani latihan pusat, seminggu sebelum mereka terbang ke Bahrain,” jelas Stuart kepada Bernama.

Aksi menentang Bahrain sepatutnya berlangsung pada 21 Mac lalu namun ia terpaksa dibatalkan kerana kerajaan Bahrain telah mengetatkan perjalanan keluar dan masuk kepada individu-individu dari negara yang berdekatan atau berhampiran dengan wabak covid-19 termasuk Malaysia.

FAM
Sumber Gambar: FAM

Bagaimanapun, pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berharap saingan Liga Malaysia dapat bersambung lebih awal bagi memastikan pemainnya cukup bersedia dari segi fizikal dan mental.

“Kalendar FIFA (5 oktober-13 oktober) membenarkan 7 hingga 10 hari sesi latihan. Sudah tentu kalau liga bersambung lebih awal, ia lebih bagus sebab pemain akan dapat semula keyakinan, dan mengekalkan tahap kecergasan dalam perlawanan kompetitif.

“Katakan kalau setiap pasukan mula melakukan latihan bersentuhan mulai 15 Julai sampai 1 September, ini bermaksud pemain perlu melakukan regangan yang boleh membebankan mereka.

“Tetapi jika liga dimulakan semula lebih awal, ia akan memberi mereka lebih banyak masa untuk bersama pasukan kebangsaan.

“Dengan jadual yang padat bakal dihadapi selepas ini, mereka akan menjadi lesu yang boleh menyebabkan kecederaan, dan itu adalah kebimbangan utama saya,” katanya dalam New Straits Times. 

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad Harimau Malaya melalui pautan dibawah.

Harimau Malaya Tidak Perlukan Marcel Kalonda

Lahir Di Sarawak Bukan Tiket Automatik Samuel Bone Sarung Jersi Harimau Malaya

Keputusan MFL Sambung Semula Liga Bakal Bantu Skuad Harimau Malaya