Pemain pertahanan negara, Aidil Zafuan Abd Radzak menganggap perancangan Malaysian Football League (MFL) untuk menyambung semula saingan Liga Malaysia pada September ini akan membantu Harimau Malaya mendapatkan aksi kompetitif sebelum mengharungi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Aidil menghargai setiap usaha daripada semua pihak termasuk MFL yang terus mencari jalan terbaik agar Liga Malaysia tetap berjalan pada musim ini kerana mereka sememangnya perlu mendapatkan kembali momentum perlawanan secepat mungkin selepas lebih dua bulan tidak beraksi ekoran pandemik wabak COVID-19.
Meskipun mengakui tempoh persiapan skuad Harimau Malaya adalah singkat, tetapi tonggak utama Johor Darul Ta’zim (JDT) ini percaya akan percaturan pengendali negara, Tan Cheng Hoe selain tanggungjawab pemain sendiri untuk menggunakan peluang beraksi dalam baki saingan liga bagi mendapatkan tahap kecergasan optimum.
“Sebelum ini pun saya ada baca komen daripada jurulatih yang mengatakan Liga Malaysia memang akan membantu skuad kebangsaan untuk pasukan mendapatkan momentum terbaik selain kesan yang kami akan terima seandainya liga tidak dapat diteruskan.
“Jadi, apabila saya tengok pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh ramai pihak termasuk MFL untuk kita teruskan juga liga, memang ia satu usaha yang bagus apatah lagi kepada kami sendiri sebagai pemain yang semestinya ingin terus beraksi.
“Walaubagaimanapun, kesihatan dan keselamatan masih perlu diutamakan dan saya juga sebagai pemain tidak boleh mementingkan diri sendiri dan banyak aspek yang perlu dilihat untuk memastikan liga terus berlangsung.
“Walau apa pun, tempoh persediaan tidak dinafikan memang singkat, tetapi kalau ditakdirkan memang itu sahaja masa yang ada, kita harus fikirkan cara terbaik untuk memastikan persiapan pasukan tetap di tahap terbaik,” katanya.
Dalam masa yang sama, pertahanan Perak, Shahrul Saad turut senada dengan Aidil apabila menyifatkan prestasi dalam Liga Malaysia akan menentukan kedudukannya sama ada akan terus kekal atau tidak dalam skuad kebangsaan.
Meskipun Cheng Hoe pernah menyatakan perancangannya untuk mengekalkan sebahagian besar pemain utama dalam skuad negara, namun itu tidak akan menjamin tempat Shahrul untuk terus menjadi pilihan dan untuk itu, dia perlu membuktikan kemampuan dalam baki tujuh perlawanan liga yang dijangka bersambung selepas ini.
“Semuanya terpulang kepada Cheng Hoe untuk memilih pemain terbaik dalam pasukan bagi menyarung jersi kebangsaan kerana sudah pasti beliau inginkan yang terbaik untuk pasukan apatah lagi dalam situasi yang sukar ketika ini.
“Kali terakhir tahun lepas pada November, saya masih terpilih, tetapi tahun ini kita tidak tahu lagi macam mana dan saya tidak boleh terlalu selesa kerana semua pemain sudah lama tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif.
“Sebab itulah, saya perlu pastikan tujuh perlawanan liga ini nanti akan menjadi penentu terbaik untuk saya tetap menjadi pilihan dalam skuad negara”, jelasnya.
MFL merancang untuk menyambung kembali CIMB Liga Super serta Liga Premier pada 1-2 September dan berakhir pada 26-27 September ini dan perancangan itu tertakluk kepada kelulusan pihak kerajaan.
Berdasarkan perancangan terbaharu Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang masih tertakluk kepada kelulusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa ( FIFA), skuad Harimau Malaya akan bertemu Emiriah Arab Bersatu ( UAE) pada 8 Oktober di Dubai dan Vietnam pada 13 Oktober di Kuala Lumpur.
Sebelum turun berentap dalam dua perlawanan itu,skuad negara dalam perancangan mengaturkan satu aksi persahabatan bertemu Bahrain pada 3 Oktober di Manama.
Baca artikel lain mengenai pasukan kebangsaan di sini:
Tan Cheng Hoe Berharap Saingan Liga Malaysia Musim 2020 Disambung
B.Satianathan Tidak Mahu Pihak Luar Ganggu Tugas Tan Cheng Hoe