Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini telah membuat permohonan rasmi kepada Prasarana Malaysia Berhad untuk melanjutkan tempoh operasi LRT dan MRT pada hari selasa ini (19 November 2019) sempena perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Perkembangan itu didedahkan oleh Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM, Christopher Raj melalui laman twitter miliknya selepas mengambil kira cadangan dan pandangan daripada penyokong Harimau Malaya.
Secara rasmi @FAM_Malaysia telah pun menghantar surat kepada #Prasarana untuk melanjutkan tempoh masa operasi LRT dan MRT utk perlawanan seterusnya, kita harap Pihak #Prasarana akan berkerjasama demi penyokong penyokong #HarimauMalaya. pic.twitter.com/t7FbTbpMgZ
— Christopher Raj 🇲🇾 (@chrisraj23) November 15, 2019
Dijangka 80,000 penyokong bola sepak tempatan termasuk penyokong Indonesia akan membanjiri perkarangan stadium pada hari perlawanan. Kebanyakan mereka akan hadir dengan menggunakan pengangkutan awam seperti LRT dan MRT untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Oleh sebab itu, FAM berharap agar tempoh operasi stesen LRT dan MRT dilanjutkan masa bagi memastikan kelancaran penyokong untuk pulang ke rumah masing-masing selepas tamat perlawanan.
“Permohonan ini adalah bagi kemudahan peminat dan penonton untuk menghadiri perlawanan Malaysia menentang Indonesia pada 19 November ini.
“Dilampirkan bersama adalah surat dari FAM bertarikh 15 November 2019 untuk makluman dan tindakan pihak Tuan,” kata petikan daripada surat tersebut.
Malaysia kini berada pada kedudukan keempat dengan 6 mata selepas menewaskan Thailand, 2-1 semalam manakala Indonesia masih belum raih sebarang mata apabila tewas dalam 4 perlawanan yang dilalui setakat ini.
Baca juga artikel lain berkaitan dengan permohonan penyokong untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan pengangkutan awam.
Tiada Lanjutan Waktu Perkhidmatan RapidKL Malam Ini, Undang Pelbagai Reaksi Dari Ekor Harimau Malaya