Setiausaha agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam mengesahkan pihaknya sudah mempunyai beberapa perancangan untuk skuad Malaysia bawah 15 tahun (B-15) sebagai persiapan untuk menghadapi kelayakan AFC B-16 bulan depan.
Katanya dalam Stadium Astro, tiga perlawanan persahabatan antarabangsa telah diaturkan bagi memastikan stamina pemain berada di tahap yang terbaik dan sentiasa lebih bersedia.
Skuad kendalian P. Maniam itu mencuri tumpuan para peminat bola sepak tempatan selepas muncul sebagai juara AFF B-15 serta telah mengejutkan beberapa pasukan gergasi Asia dalam satu kejohanan jemputan di China.
“Kejuaraan dalam Kejohanan AFF B-15 merupakan satu kejayaan positif tetapi ia bukanlah penanda aras kerana kelayakan Kejohanan AFC 2020 menjadi perhatian dan keutamaan pasukan ini.
“Kemenangan dalam Kejohanan AFF akan menjadi pemangkin semangat untuk persembahan di peringkat AFC.
“Kami juga akan mengatur perlawanan persahabatan menentang India, Mongolia dan Nepal,” katanya.
Stuart juga mengakui terkejut dengan kejayaan anak buah P. Maniam merangkul kejuaraan AFF B-16 dan masih mengekalkan rekod tanpa kalah setakat ini. Malah, apa yang paling menarik ialah pasukan ini hanya melakukan persiapan dalam tempoh yang singkat.
“Kami cuma terkejut kerana mereka berdepan masa yang singkat (membuat persiapan) berikutan Maniam baru sahaja menyertai Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).
“Dia seorang jurulatih yang memiliki lesen bertaraf pro dan juga pernah mengharungi sistem (pembangunan) seperti ini. Beliau merupakan jurulatih yang kami letakkan harapan tinggi.
“Dengan kemampuannya mengendalikan barisan pemain ini dan meraih keputusan (memberangsangkan) seperti ini, saya percaya mereka mencipta tuah sendiri,” katanya lagi.