Pertahanan baharu Melaka United FC, Muhammad Fadhli Shas mahu kembali mencipta nama apabila dipinjamkan beraksi bersama pasukan itu pada musim ini selepas lapan tahun bersama Johor Darul Ta’zim (JDT).
Pemain berusia 31 tahun ini tidak menolak telah berdepan pelbagai pengalaman sepanjang lapan tahun bersama JDT sejak musim 2014 dan dengan persaingan sengit dalam kelab itu menjadikan dirinya lebih matang untuk merebut peluang terbaik.
Memandangkan musim lepas Fadhli hanya beraksi di pentas Liga Premier dengan 10 penampilan bersama JDT II, dia tekad ingin membuktikan sesuatu bersama Melaka pada musim ini di samping ingin membantu skuad itu berada di kedudukan lebih baik berbanding tahun lalu.
“Sejujurnya saya tidak ingin menjanjikan sesuatu yang luar biasa, cuma InsyaAllah saya akan memberikan yang sebaiknya untuk Melaka dan saya secara peribadi percaya saya boleh mencapai sesuatu dengan pasukan ini.
“Apabila kita dah bermain secara profesional, tidak kira di mana pun saya akan diletakkan sebelum ini, sama ada di pasukan bawah ke di atas ke, saya akan sentiasa memberikan yang terbaik untuk pasukan.
“Cuma saya mengharapkan sokongan daripada penyokong-penyokong Melaka juga untuk kita sama-sama tengok musim ini Melaka akan berjaya meraih kejayaan”, katanya kepada MFL.
Pertahanan baharu @MelakaUnitedFC, Muhammad Fadhli Shas mahu kembali mencipta nama apabila dipinjamkan beraksi bersama pasukan itu pada musim ini selepas lapan tahun bersama Johor Darul Ta’zim.#LigaMalaysia2022
— Malaysian Football League (@MFL_MY) January 25, 2022
Dalam masa sama, bekas tonggak utama skuad Harimau Muda A ini mengakui Melaka juga dibarisi oleh pemain-pemain berkualiti yang pastinya akan menghadirkan perebutan sengit dalam kesebelasan utama.
Namun, dia mengharapkan kudratnya akan ditagih lebih kerap dalam perlawanan sekali gus menghidupkan kembali peluang untuknya kembali bersama skuad kebangsaan.
“Kalau masih diberi peluang, saya tidak menolak rezeki untuk kembali ke pasukan kebangsaan, tetapi saya tidaklah meletakkan itu sasaran utama, sebab yang penting adalah untuk beri terbaik kepada Melaka terlebih dahulu.
“Sebelum ini mungkin karier agak tenggelam sebab beraksi di Liga Premier, dan sekarang kembali ke pentas Liga Super, saya percaya kalau sentiasa konsisten, rezeki untuk beraksi dengan skuad kebangsaan mungkin ada.
“Tapi saya tidak menjanjikan yang saya akan kerap bermain sebab Melaka pun ada ramai pemain yang bagus, jadi ini akan menjadi persaingan sihat dan saya ingin ambil kesempatan ucapkan terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim) dan pihak pengurusan Melaka United atas peluang ini”, tambahnya.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.
Tiada Lagi Zainal Abidin, Melaka United Umum Risto Vidaković Sebagai Ketua Jurulatih Baharu
Tiga Pasukan Liga Super Bakal Berentap Dalam Piala Menteri Besar Terengganu
FAM Dapat RM10 Juta Daripada Kerajaan Untuk Pembangunan Bola Sepak
Fernando Forestieri Jadi ‘Peneman’ Bergson Da Silva Di Jentera Serangan JDT