Persatuan Bola Sepak Thailand (FA Thailand) bertindak pantas dalam menangani isu pergaduhan melibatkan pemain serta barisan kejurulatihan pasukan ketika perlawanan akhir Sukan SEA 2023 bertemu Indonesia, tempoh hari.
Baca Juga:
- Sea Games 2023: Aksi Indonesia Menentang Thailand Cipa Rekod Baharu
- Sea Games 2023: Pegawai Indonesia Tumbang Selepas Ditumbuk Pegawai Thailand
- Sea Games 2023: Penantian Panjang Indonesia Berakhir, Menang Pingat Emas Bola Sepak
Hal ini kerana badan induk bola sepak negara jiran itu telah menjatuhkan hukuman kepada beberapa individu yang terlibat dengan insiden memalukan tersebut.
Seperti yang dapat disaksikan pada perlawanan tersebut, pemain mereka dilihat bertindak keterlaluan dalam meraikan jaringan penyamaan dihasilkan oleh Yotsakon Burapha pada masa kecederaan sehingga menyebabkan keadaan berubah menjadi huru-hara.
Adegan tumbuk menumbuk antara pemain dan pegawai kedua-dua pasukan tidak dapat dielakkan dan salah seorang pegawai Indonesia tidak bernasib baik apabila beliau pengsan setelah ditumbuk oleh salah seorang pegawai Thailand.
Menyedari kesilapan yang dilakuka, pihak FA Thailand telah menjatuhkan hukuman penggantungan selama setahun daripada tugasan terhadap Prasadchok Chokmoh (jurulatih penjaga gol) dan dua kakitangan pasukan, Mayed Madada dan Patrawut Wongsripuek.
Sementara itu, Sophonwit Rakyath dan Teerapak Pruengna pula digantung selama enam bulan daripada tugasan bersama skuad kebangsaan Thailand.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan sebelum ini, FA Thailand mendedahkan mahu melakukan siasatan adil bagi memberikan pengajaran kepada pesalah kejadian tersebut.
“Dalam hal ini, kami ingin memaklumkan anda bahawa jawatankuasa tatatertib akan ditubuhkan untuk menyiasat secara menyeluruh semua individu yang memainkan peranan dalam memulakan dan/atau terlibat dalam insiden tersebut.”
“Objektif jawatankuasa ini adalah untuk mengumpul fakta dengan pantas dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peraturan yang ditetapkan oleh persatuan.”
“Selain itu, tiada perlindungan atau keistimewaan diberikan kepada sesiapa yang bertanggungjawab atas sebarang salah laku dalam kejadian ini. Hasilnya, prosedur penyiasatan akan dimulakan dengan segera selepas pasukan itu kembali ke Thailand.”