Tandukan pemain pertahanan, Denzel Dumfries pada lewat permainan membantu Belanda meraih kemenangan berharga 3-2 ke atas Ukraine di Johan Cruijff Arena, sebentar tadi.
Corak permainan menarik ditampilkan sebaik sahaja wisel permulaan apabila Belanda banyak mencipta serangan ke kubu lawan dan lebih menguasai permainan manakala serangan balas pantas dijelmakan Ukraine juga kelihatan cukup berbahaya.
Belum pun memasuki 10 minit permainan, Belanda sudah memiliki tiga percubaan dengan Memphis Depay melakukan rembatan dalam kawasan penalti yang berjaya dinafikan penjaga gol Ukraine, Georgiy Bushchan pada minit kedua.
Berselang tiga minit kemudian, Bushchan sekali lagi menjadi penghalang apabila beliau menyelamatkan percubaan jarak dekat daripada Dumfries yang tidak dikawal pertahanan Ukraine dalam kawasan penalti.
Minit ketujuh pula menyaksikan Dumfries melakukan ‘cutback’ untuk memberikan ruang kepada ketua pasukan, Georginio Wijnaldum untuk melakukan percubaan. Namun, rembatan pemain tengah yang baharu sahaja diikat Paris Saint-Germain itu sekadar melewati palang gol.
Ukraine yang dibimbing legenda AC Milan, Andriy Shevchenko turut mendapat peluang untuk mengancam kubu Belanda tetapi percubaan diledakkan Roman Yaremchuk [minit ke-16] dan Andriy Yarmolenko pada minit ke-30 mudah ditangkap kemas penjaga gol, Maarten Sketelenburg.
Bushchan terus menjadi masalah buat Belanda apabila beliau bertindak cemerlang dalam menepis keluar percubaan voli yang cukup menarik dilakukan oleh Wijnaldum pada minit ke-39.
Dumfries turut mensia-siakan peluang terhidang hanya seminit kemudian selepas gagal menanduk masuk bola ketika beliau tidak dikawal pertahanan Ukraine dalam kawasan penalti susulan hantaran kemas daripada Depay.
Jika aksi babak pertama berakhir tanpa jaringan, lain pula ceritanya pada 45 minit kedua apabila lima jaringan terhasil dan aksi kelihatan lebih menarik dan cukup mendebarkan.
Asakan berterusan skuad The Oranje pada separuh masa kedua membuahkan hasil pada minit ke-52 menerusi jaringan Wijnaldum.
Berpunca daripada hantaran lintang Dumfries yang berjaya dipatahkan Bushchan, namun Wijnaldum berada di kedudukan tepat untuk melakukan percubaan sekali gus memberikan jaringan pendahuluan.
Belanda melebarkan kedudukan berselang tujuh minit kemudian selepas Wout Weghorst mengambil kesempatan dengan melepaskan rembatan berikutan kesilapan pertahanan Ukraine gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.
Ketinggalan dua gol nyata tidak melunturkan semangat barisan pemain Ukraine untuk kembali bangkit. Keadaan itu jelas terbukti apabila Yarmolenko meledakkan rembatan dari jarak jauh bagi merapatkan jurang gol pada minit ke-75.
Kelebihan jaringan yang dimiliki Belanda terpadam pada minit ke-79 setelah Yaremchuk berjaya menanduk masuk bola susulan sepakan percuma diambil Ruslan Malinovskyi.
Dumfries yang dua kali hampa pada babak pertama akhirnya muncul wira apabila tandukannya ketika menerima hantaran daripada Nathan Ake pada minit ke-85 tidak mampu dihalang Bushchan untuk menghadiahkan kemenangan buat Belanda pada perlawanan ini.
Kemenangan itu meletakkan Belanda di tangga kedua, hanya kekurangan perbezaan jaringan berbanding pendahulu kumpulan C saingan Euro 2020, Austria.