Denmark mencetuskan fenomena hangat di Stadium Parken, Copenhagen apabila berjaya menundukkan Rusia 4-1 pada aksi ketiga kumpulan B saingan Euro 2020 yang berlangsung sebentar tadi.

Kemenangan penting tersebut meletakkan Denmark di kedudukan kedua kumpulan dan berjaya mengiringi Belgium layak ke pusingan 16 bagi berdepan Wales di Amsterdam.

Tewas pada dua perlawanan awal di tangan Finland dan Belgium tidak langsung merentap semangat Denmark untuk meraih kemenangan apabila skuad kendalian Kasper Hjulmand itu lebih menguasai permainan.

Denmark bagaimanapun hampir dikejutkan pada minit ke-18 apabila Aleksandr Golovin dengan lincah melepasi kawalan pertahanan dan kemudiannya melepaskan rembatan, namun percubaannya berjaya dinafikan Kasper Schmeichel.

Perlawanan selepas itu menyaksikan pasukan tuan rumah lebih banyak melancarkan serangan berbahaya ke arah pintu gol Rusia yang dimulakan oleh rembatan padu luar kawasan penalti daripada Pierre-Emile Hojbjerg pada minit ke-29.

Jaringan yang diharapkan para penyokong Denmark menjelas pada minit ke-38 selepas percubaan jarak jauh daripada Mikkel Damsgaard hanya mampu dipandang penjaga gol Rusia, Matvey Safonoz untuk memisahkan kedua-dua pasukan.

Denmark melebarkan kedudukan ketika perlawanan memasuki minit ke-59 berikutan kesilapan pemain pertahanan Rusia, Roman Zobnin yang melakukan hantaran kepada Yussuf Poulsen pada ketika Safonoz sedikit keluar daripada posisinya.

Russia yang turut mengintai peluang untuk layak ke pusingan kalah mati berjaya mengurangkan defisit jaringan pada minit ke-70 apabila Artem Dzuyba menyempurnakan sepakan penalti selepas Jannik Vestergaard mengasari Aleksandr Sobolev.

Ketika Rusia mahu memburu jaringan penyamaan, Denmark tanpa disangka-sangka berjaya menambah dua lagi jaringan dimana Andreas Christensen meledakkan rembatan padu untuk jaringan ketiga pada minit ke-79.

Berselang tiga minit kemudian, giliran Joakim Mæhle Pedersen pula meletakkan nama selaku penjaring sekali gus mematikan api perjuangan skuad bimbingan Stanislav Cerchesov itu.