Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari mengakui masih banyak yang perlu diperbaiki terutamanya daripada segi fokus meskipun menang 6-1 ke atas Kuala Lumpur City FC untuk aksi Liga Super 2023, semalam.

Baca Juga:

Ini berikutan Kuala Lumpur menjadi pasukan ketiga selepas Kelantan FC dan Terengganu FC yang berjaya menembusi gawang JDT di pentas liga setakat ini.

Bagi Solari, anak buahnya telah menampilkan persembahan menyakinkan dalam tempoh separuh masa pertama untuk meraih jaringan berganda namun corak permainan kian lemah di babak kedua sehingga memberi ruang kepada lawan meledak gol.

Walaubagaimanapun, beliau merasakan kelalaian barisan pemain ketika itu antara aspek yang akan diambil kira sebagai penambahbaikan agar ia tidak berulang lagi terutamanya pada aksi final Piala FA, 22 Julai ini.

“Kami bermain dengan cukup baik pada separuh masa pertama di mana pemain-pemain berusaha keras untuk mencari jaringan.

“Tetapi ia berbeza pada separuh masa kedua apabila mereka tidak boleh mengekalkan rentak permainan dan saya percaya ianya tidak mudah walaupun kami dah dapat empat gol pada babak pertama.

“Penting sebenarnya untuk terus kekal tanpa bolos tetapi kami hilang fokus sehingga lawan boleh pegang bola.

“Sudah tentu banyak yang kita perlu perbaiki dan salah satunya adalah fokus untuk pemain kekal menumpukan perhatian”, tambah Esteban Solari lagi.

Kemenangan berterusan JDT itu mengekalkan mereka di takhta liga dengan 45 mata setakat ini.