Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari menganggap masih terlalu awal untuk memikirkan mengenai trofi Liga Super meskipun kini cemerlang dengan lapan kemenangan berturut-turut.
Baca Juga:
- Liga Super: JDT Mudah Belasah Kedah Di Laman Sendiri
- TMJ: Kontraktor Bayar Gaji Pemain? Sila Audit Dan Periksa Kewangan JDT
- “Tiada JDT, Tiada Liga, Tiada Duit Hak Penyiaran, Fakta.” – TMJ
Terbaharu, Kedah Darul Aman FC menjadi pasukan seterusnya yang tewas besar kepada JDT dengan keputusan 0-6 di Stadium Sultan Ibrahim semalam.
Nyata, dengan jurang jaringan yang cukup besar diraih JDT dalam lapan perlawanan setakat ini memperlihatkan peluang mereka cukup tinggi untuk menjulang trofi Liga Super sekali lagi buat kali ke-10.
Namun, Solari enggan terlalu memikirkan kejuaraan itu terlalu awal memandangkan perjalanan liga musim ini masih lagi panjang selain mahu barisan pemain sentiasa fokus aksi-aksi yang akan datang dan tetap menghormati pasukan lawan dalam setiap perlawanan.
“Saya rasa masih terlalu awal untuk bercakap mengenai kejuaraan dan kita dah bermain dengan banyak pasukan yang bagus tetapi kita tetap menampilkan permainan yang cemerlang.
“Kami ingin terus menampilkan permainan yang bagus, meletakkan idea yang betul dan inilah yang kita ingin jangkakan untuk setiap aksi.
“Tidak kira bermain di laman sendiri atau tempat lain, kita sentiasa menghormati lawan dan keutamaannya adalah bagaimana kita menghormati pasukan sendiri.
“Saya nampak perjalanan yang masih jauh dan apa-apa sahaja boleh berlaku dan sekarang kita memang gembira cuma semuanya masih belum pasti lagi (untuk menang trofi)”, jelas Esteban Solari lagi.
Dengan kemenangan berterusan JDT meletakkan pasukan itu terus gah di takhta Liga Super dengan 24 mata manakala Kedah di kedudukan ketiga dengan 16 mata ketika ini.