Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengalami kekalahan pertama dalam aksi pra musim apabila tewas 2-0 ketika perlawanan persahabatan menentang kelab dari Rusia, FC Rostov di padang bola sepak Ritz Carlton, Abu Dhabi, UAE semalam.
Baca Juga:
- Esteban Solari Mahu Terapkan ‘Grow Mentality’ Terhadap Pemain JDT
- Sumareh Terima Kata-Kata ‘Pedas’ Daripada TMJ
- TMJ Sahkan 3 Lagi Pemain Bakal Sertai JDT: “Nama Pun Tangan Ghaib”
Ini merupakan perlawanan pertama JDT setelah berehat hampir 2 bulan dan mereka masih dalam proses untuk mendapatkan kembali kecergasan di tahap terbaik sambil menyesuaikan diri dengan taktikal pengendali baharu dari Argentina, Esteban Solari.
Solari dalam satu kenyataan rasmi menyifatkan mereka telah dapat satu pengajaran yang berguna berdepan lawan berkualiti dan akan memperbaiki segala kelemahan.
“Ini adalah perlawanan yang menguji kami sepenuhnya, sesuatu yang telah kami jangkakan apabila bertemu pasukan yang kini di tangga ketiga Liga Russia. Saya berpuas hati melihat transisi permainan yang baik, ‘ball possession’ yang mengalakkan dan menggerakkan bola secara satu pasukan.
“Hari ini adalah satu pengajaran yang baik apabila menentang pasukan yang berkualiti. Sekarang kami kembali ke sesi-sesi latihan dan memperbetulkan kelemahan-kelemahan daripada perlawanan ini.
“Niat utama di sini adalah untuk belajar dan mencabar diri kami untuk berhadapan dengan pasukan-pasukan yang lebih kuat supaya kami dapat memperbaiki pasukan dari apa yang kami ada sebelum ini.
“Perlawanan-perlawanan seterusnya juga lebih sukar dan kami perlu bekerja keras setiap hari sebelum bermulanya kempen 2023,” katanya.
It was a match that tested us greatly, something we expected against a team currently third in Russia. I was pleased to see us have good transitions, a good amount of possession and move the ball collectively as a team. (1/3) pic.twitter.com/N1WW5w58TA
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) January 25, 2023
Dalam perlawanan itu, FC Rostov terlebih dahulu menjaringkan gol pembukaan menerusi Yegor Golenkov yang menolak masuk bola hantaran Dmitry Poloz pada minit ke 39.
Jaringan itu berpunca daripada kegagalan Matthew Davies merantai pemain sayap kiri FC Rostov, Dmitry Poloz sehingga membuka ruang kepada pemain tersebut melakukan hantaran cantik.
Tidak banyak percubaan berbahaya dilakukan oleh JDT dan Rostov memiliki kelebihan dari segi fizikal untuk mengekang pergerakan jentera serangan Harimau Selatan. Peluang terbaik hadir menerusi sepakan percuma Forestieri namun rembatannya tersasar.
Kelekaan benteng pertahanan JDT dimanfaatkan oleh FC Rostov apabila Golenkov sekali lagi menambah gol kedua pada minit ke 45 melalui situasi kelam kabut dalam kawasan kotak penalti. Keputusan 2-0 memihak kepada FC Rostov sehingga tamat perlawanan.
Solari juga dilihat mencuba formasi 3-5-2 dengan Syahmi Safari beraksi di posisi pemain tengah kanan manakala Danial Amier sempat diturunkan menggantikan tempat Hong Wan sebagai pemain tengah bertahan.
Selepas ini, JDT bakal menentang kelab dari UAE dalam perlawanan persahabatan yang dijadualkan berlangsung pada 28 Januari. Kemudian, mereka akan bertemu kelab dari Bulgaria, FC Levski Sofia (31 Januari) dan dua gergasi Rusia iaitu FC Lokomotiv Moscow (2 Februari) serta FC Zenit ST. Petersburg (6 Februari).