Setelah membantu Johor Darul Ta’zim II memenangi saingan Piala Cabaran musim ini, Ervin Boban mengambil keputusan untuk mengundurkan diri sebagai ketua jurulatih kelab tersebut.
Perkara ini diumumkan oleh Boban sendiri menerusi satu post di laman media sosial Facebook miliknya pada semalam dimana beliau mengucapkan terima kasih kepada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana memberinya peluang untuk mengendalikan JDT II.
“Selepas 12 tahun perjalanan saya bersama keluarga JDT akhirnya bertemu penghujungnya. Perjalanan ini sungguh hebat dan berjaya, begitu banyak kenangan indah yang akan sentiasa tersemat di hati saya.
“Terima kasih diucapkan khas kepada DYAM Tunku Mahkota Johor atas sokongan baginda dan peluang yang diberikan kepada saya sekali lagi untuk mewakili Negeri Johor. Bermain untuk Johor pada tahun 90-an selama 7 tahun dan kini sebagai jurulatih selama 5 tahun memberikan saya sebuah kebanggaan yang sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata.
“Saya mahu mengucapka terima kasih kepada pengurusan, barisan kejurulatihan dan para pemain. Akhir sekali kepada para penyokong keluarga JDT yang hebat walau di mana sahaja anda berada,” kata Ervin.
Di bawah bimbingan Boban musim ini, JDT II berjaya menamatkan saingan Liga Perdana di tangga ke-2, sepuluh mata di belakang pasukan yang muncul sebagai juara iaitu Sabah. JDT II kemudiannya berjaya meraih kejuaraan Piala Cabaran setelah menewaskan UKM FC di pentas akhir menerusi penentuan sepakan penalti.
Baca artikel lain mengenai Ervin Boban yang telah kami sediakan di sini:
Ervin Boban Gunakan Challenge Cup Sebagai Medan Uji Pemain Muda