Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim II (JDT II) Ervin Boban mengingatkan anak buahnya untuk mengerah segala kudrat yang ada apabila turun beraksi pada final pertama Challenge Cup 2019, malam ini.
Berdepan finalis musim lalu, UKM FC pastinya bukan sesuatu yang mudah buat JDT II yang mengintai kejuaraan pertama memandangkan skuad lawan kendalian Sulaiman Hussin itu mampu untuk mencipta kejutan.
Walaubagaimanapun, Boban menggesa semua pemainnya bekerja lebih keras kerana inilah masanya untuk mereka memiliki trofi pertama dalam karier buat pasukan.
“Daripada awal musim lagi apabila liga bermula, kami memang nak menang trofi, namun beberapa perlawanan terakhir kami gagal untuk konsisten dan akhirnya Sabah berjaya menjuarai Liga Premier musim ini.
“Sekarang hanya tinggal satu trofi sahaja lagi yang ada iaitu Challenge Cup dan inilah satu-satunya peluang untuk kami memenangi trofi itu.
“Saya boleh janjikan pemain-pemain akan memberikan lebih 100 peratus di atas padang dan akan melakukan yang terbaik bagi mengatasi UKM pada malam ini”, katanya.
Penolong jurulatih UKM FC, Muhammad Juzaili Samion pula menganggap final pertama pada malam ini di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang cukup penting dalam mencari bekalan selesa sebelum membuat perhitungan kedua di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 12 Oktober ini.
Pastinya bukan tugas mudah apabila beliau turut ditugaskan untuk mengemudi pasukan bagi menggantikan Ketua jurulatih,Sulaiman Hussin yang kini berada di Jepun bagi mengikuti kursus kejurulatihan lesen Pro AFC.
“Saya rasa ini memang satu tanggungjawab yang cukup besar yang diserahkan kepada saya apatah lagi ini adalah perlawanan final.
“Saya akan menjalankan tugas ini dengan baik di mana saya kena memastikan momentum pemain-pemain di tahap terbaik sepertimana yang mereka lakukan dalam peringkat kumpulan sebelum ini.
“Saya percaya pemain pun sudah tahu apa yang perlu dilakukan dan jangan lakukan kesilapan-kesilapan kecil yang boleh mengundang masalah di atas padang nanti,” jelasnya.
Baca artikel lain mengenai Challenge Cup 2019 di sini:
Ervin Boban Gunakan Challenge Cup Sebagai Medan Uji Pemain Muda
Saingan Challenge Cup Musim Ini Lebih Mencabar – Hasbullah Awang