Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim II
(JDT II), Ervin Boban ingin memastikan saingan Challenge Cup terus menjadi landasan terbaik untuk menguji kualiti pemain-pemain muda bagi memastikan prestasi mereka sentiasa di tahap terbaik sebelum melangkah ke fasa lebih tinggi.

Jelasnya, Challenge Cup adalah pentas cukup penting buat JDT II yang memiliki ramai pemain muda untuk diketengahkan kerana ia saingan kompetitif selain beraksi di Liga Premier.

Ervin Boban
Sumber Gambar: JST

“Semua orang tahu JDT II adalah pasukan pembangunan di mana skuad ini adalah tempat untuk pemain-pemain muda mendapat platform ketengahkan bakat mereka.

“Sebelum ini kita pernah mengetengahkan pemain Ramadhan Saifullah, Awang Faiz Hazziq dan ramai lagi untuk kita letak pemain-pemain muda ini dalam akademi.

“Harapan saya sebagai jurulatih, menerusi Challenge Cup, kualiti permainan mereka akan lebih meningkat dan mahu lihat lebih ramai pemain lain yang belum membuktikan apa-apa di saingan Liga Premier untuk buktikan sesuatu di pentas Challenge Cup,” katanya.

Johor Darul Ta’zim II
Barisan pemain Johor Darul Ta’zim II

Dalam saingan kali ini, JDT II mensasarkan untuk mara ke final di mana ia sedikit sebanyak mampu menjadi pengubat kekecewaan selepas penurunan prestasi JDT II di penghujung musim dan menamatkan saingan Liga Premier 2019 selaku naib juara di belakang Sabah.

Ervin Boban menggesa anak buahnya mempamerkan aksi cemerlang sepertimana yang dilakukan pada permulaan musim sebelum mengalami fasa sukar apabila merekod beberapa kekalahan berterusan yang menjejaskan peluang mereka muncul juara Liga Premier.

Ervin boban
Sumber Gambar: Stadium.my

“Saya memang berharap pasukan dapat memberikan aksi sebaik mungkin di mana ketika ini saya juga masih mencari punca sebenar mengapa prestasi menurun dalam beberapa perlawanan pada penghujung Liga Premier, tidak seperti pada awal musim.

“Saya akan pastikan strategi yang lebih baik dan harap mereka semua dapat mengikut perancangan dbagi memastikan impian muncul juara Challenge Cup musim ini dapat tercapai,” kata bekas pemain import Johor itu.

Dalam saingan Challenge Cup musim ini, JDT II diundi dalam kumpulan A yang menyaksikan mereka bakal berentap bersama Kelantan dan Sarawak.