Bintang Belgium, Eden Hazard nyata telah mengejutkan dunia bola sepak selepas mengumumkan persaraan daripada kancah sukan paling popular itu hanya pada usia 32 tahun.

Perkembangan terkini mengenai keputusan drastik tersebut disahkan sendiri oleh bekas pemain Lille, Chelsea dan Real Madrid itu menerusi kenyataan rasmi di laman Instagram peribadinya.

Tidak seperti bersama Chelsea yang menyaksikan beliau mengecapi pelbagai nikmat kejuaraan berbekalkan kepada aksi menarik ditampilkannya, nasib berbeza dialami ketika menyarung jersi Real Madrid.

Penurunan pretasi ekoran masalah kecederaan menyebabkan Hazard meninggalkan Real Madrid pada musim panas lalu meskipun kontraknya masih berbaki setahun.

Keputusan yang diambil itu bagaimanapun masih belum mampu untuk menarik minat kelab lain bagi mendapatkan khidmatnya.

“Anda mesti mendengar kata hati sendiri dan mengatakan untuk berhenti pada masa yang sesuai,” ujar Hazard.

“Selepas 16 tahun dan beraksi lebih 700 perlawanan, saya memilih untuk menamatkan karier saya sebagai pemain bola sepak profesional.”

“Saya dapat merealisasikan impian saya, saya bermain dan berseronok di banyak padang seluruh dunia.”

“Dalam karier saya, saya sangat bertuah kerana berjumpa dengan pengurus-pengurus hebat, jurulatih dan rakan sepasukan – terima kasih semua atas masa yang hebat, saya akan merindui anda semua.”

“Saya juga mahu mengucapkan terima kasih buat kelab yang saya sertai: LOSC (Lille), Chelsea dan Real Madrid serta RBFA (Persatuan Bola Sepak Diraja Belgium) untuk skuad kebangsaan Belgium.”

“Terima kasih tak terhingga buat keluarga, rakan-rakan, penasihat saya dan orang yang rapay dengan saya di waktu baik mahu pun buruk.”

“Akhir sekali, terima kasih kepada anda, peminat saya, yang mengikuti saya dan atas dorongan selama ini sewaktu saya beraksi,” tambah Eden Hazard lagi.