Atlet negara yang memenangi pingat emas pada temasya Sukan Asia 2023 tempoh hari tetap diberikan tumpuan meskipun mereka tidak berada dalam program khas Road To Gold (RTG).

Menurut satu kenyataan media dikeluarkan semalam, Nur Shazrin Latif yang menghadiahkan pingat emas pertama negara di Hangzhou akan menerima kenaikan elaun berikutan kejayaannya itu.

Shazrin turut bakal menerima insentif tambahan untuk kelayakannya ke Sukan Olimpik melalui Skin Insentif Sukan Olimpik (SISO).

Dalam pada itu, Program Podium akan terus memberikan sokongan sepenuhnya dalam menyediakan penginapan, makanan, perlindungan kos pertandingan, peralatan, pemakanan dan juga perkhidmatan perubatan serta sains sukan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Manakala tiada keperluan untuk meletakkan Muhamad Arif Afifuddin Ab Malik ke dalam program RTG kerana sukan Karate tidak dipertandingkan dalam Sukan Olimpik 2024.

Bagaimanapun, pemenang acara Kumite Lelaki Bawah 85kg Sukan Asia 2023 itu bakal menerima kenaikan elaun di bawah Program Podium selain dapat terus menggunkan segala kemudahan dan kepakaran yang disediakan oleh MSN dan ISN.

Manakala Qabil Ambak yang cemerlang dalam acara ekuestrian pula memaklumkan tidak akan bertanding di Paris kerana terlepas beberapa acara kelayakan sebelum ini.

Namun, Qabil tetap mendapat sokongan pelbagai aspek daripada pihak MSN sekiranya beliau memerlukannya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, skuasy akan turut diberikan perhatian khusus oleh program RTG selepas pengumuman sukan tersebut akan dipertandingkan dalam Sukan Olimpik.

Sehubungan dengan itu, jawatankuasa RTG telah meminta Ahli Jawatankuasanya dan Timbalan Chef De Mission Sukan Olimpik, Datuk Nicol Ann David untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan yang berkaitan untuk membangunkan pelan strategik dan kolektif untuk kemasukan skuasy ke dalam fokus program RTG pada Los Angeles 2028.