Peminat bola sepak tempatan dikejutkan dengan berita kemalangan membabitkan dua pemain skuad Liga Super Penang, Muhamad Azmeer Aris dan Mohammad Amer Azahar setelah kenderaan yang dinaiki dirempuh sebuah lori yang sedang terbakar petang semalam.

Baca Juga:

Difahamkan kedua-dua pemain itu dalam perjalanan dari Balik Pulau ke pusat bandar George Town bagi menyertai perlawanan Liga Super 2023 menentang Kuching City FC di Stadium Bandaraya.

Bagaimanapun, dua pemain tersebut tidak mengalami kecederaan serius dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Menurut laporan daripada Bernama, kemalangan itu terjadi apabila sebuah lori yang sedang menaiki bukit tiba-tiba terbakar lalu mengundur ke belakang sehingga terkena kereta pemain bola sepak tersebut.

“Lori itu terbakar dahulu dan kereta pemain ini berada 100 meter di bawah. Lori itu terbakar lebih kurang 85 peratus dan mengundur ke belakang sehingga terkena kereta pemain bola itu.

“Kereta Honda HRV yang dinaiki oleh pemain terbabit terbakar tetapi tak teruk. Kebakaran hanya berlaku kira-kira 35 peratus dan remuk di bahagian depan kanan,” kata Pegawai Bomba Seri Balik Pulau, Mohd Nasir Yahaya.

Akibat daripada kemalangan tersebut, dua pemain itu tiada dalam senarai barisan pemain skuad Harimau Kumbang menentang Kuching City yang menyaksikan Penang meraih kemenangan 2-1.

Azmeer adalah antara tonggak penting sering membarisi kesebelasan utama pasukan Penang dan beliau dijangka akan kembali beraksi dalam perlawanan seterusnya.

Penang kini berada di tangga ketujuh selepas mengutip 14 mata dalam 10 perlawanan yang diharungi. Mereka dijadualkan menentang Sri Pahang pada 20 Mei di Stadium Darul Makmur.