Musim suram terus menyelubungi sukan futsal tanah air apabila saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2021 bagi kategori lelaki dan wanita secara rasminya telah dibatalkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), petang semalam.
Perkembangan terbaharu itu boleh diibaratkan sebagai ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ apabila perkara sama turut dihadapi pada musim lalu dimana saingan MPFL pada ketika itu terpaksa dibatalkan hanya selepas berlangsungnya satu perlawanan susulan wabak melanda.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan badan induk bola sepak tanah air itu, langkah pembatalan terpaksa diputuskan selepas mengambil kira situasi semasa berkaitan pandemik, hal-hal pengoperasian serta keselamatan kesemua pemain, pegawai, petugas perlawanan dan individu yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan penganjuran pertandingan tersebut.
Selain itu menurut FAM lagi, penganjuran MPFL 2021 juga dikatakan masih lagi belum mendapat kebenaran rasmi daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Susulan dengan keputusan tersebut, sebagai sebuah liga futsal yang paling berprestij di Malaysia serta menampilkan barisan pemain berkualiti tinggi, pembatalan MPFL itu dilihat banyak memberikan kesan negatif terhadap perkembangan sukan lima sebelah itu.
Dengan ketiadaan liga kompetitif selama dua musim berturut-turut, adakah perancangan Peta Hala Tuju, F:30 berkaitan futsal akan berjaya dilaksanakan atau sekadar menjadi sebuah kisah dongeng yang akhirnya kita perlu berpijak di bumi nyata.
Menurut perancangan F:30, FAM meletakkan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah pasukan yang ditakuti oleh negara lain di Asia Tenggara pada tahun 2020 dan juga untuk mencabar pasukan gergasi Asia menjelang tahun 2023.
Tidak perlu kita memikirkan terlalu jauh tentang matlamat pihak tersebut untuk memberikan saingan kepada jagoan dunia pada tahun 2026, namun apa yang dialami futsal di Malaysia pada ketika ini sudah cukup memperlihatkan betapa berjuta batu kita tertinggal dalam usaha menggapai impian menggunung itu.
Pembatalan ini juga memberikan indikasi jelas bahawa para pemain tidak memiliki ruang sepatutnya untuk mempamerkan bakat sebenar mereka dan ia sesuatu yang benar-benar merugikan tatkala Malaysia sebenarnya masih lagi antara kuasa besar futsal di Asia Tenggara.
Pasukan-pasukan bertanding dalam MPFL juga pada musim 2021 sudah mula menunjukkan usaha untuk meningkatkan lagi tahap kompetitif liga dengan membawa masuk pemain import berkualiti tinggi. Tetapi sayang semuanya hanyalah sia-sia sahaja.
Tidak terjangkau dek akal melihat kebenaran daripada MKN berhubung fasiliti sukan ‘indoor’ kembali dibenarkan dimana gelanggang futsal komersial turut berada dalam senarai tersebut. Tetapi, MPFL masih tidak boleh diadakan kerana masih belum mendapat kebenaran daripada pihak MKN.
Apakah pemain-pemain yang beraksi dalam saingan MPFL lebih memiliki risiko berbahaya untuk menularkan virus berbanding mereka yang bermain di gelanggang komersial?
Difahamkan pasukan bertanding seperti Selangor MAC, Sabah, Selangor TOT United FC, Pahang Rangers dan PDRM juga sudah pun melengkapkan dua dos vaksinasi yang seharusnya menjadi hujah kuat untuk membenarkan liga ini diadakan.
Melihat daripada aspek berbeza pula, setiap pasukan juga sudah mengeluarkan dana besar bagi tujuan persiapan pasukan dimana melibatkan kontrak serta insurans pemain, perbelanjaan untuk sesi latihan dan segala kos operasi lain.
Sudahlah musim lalu mengalami kerugian berikutan pembatalan liga selepas satu perlawanan, perkara sama turut dialami pada musim ini pada ketika segalanya sudah dipersiapkan bagi tujuan pendaftaran.
Dua musim menjadi mangsa, adakah tahun ketiga akan ada penaja yang berminat untuk memberikan penajaan sekiranya masa depan MPFL masih lagi seperti ‘telur di hujung tanduk’ dan tidak mempunyai matlamat jelas.
Terlalu banyak perkara negatif yang akan mempengaruhi sukan futsal berhubung keputusan pembatalan saingan MPFL ini tetapi cukuplah sekadar menyimpulkan bahawa kita akan terus ditinggalkan Thailand dan Vietnam sekiranya pembatalan liga dianggap remeh oleh sesetengah pihak.