Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) semalam mengumumkan mereka kini dalam proses akhir untuk melengkapkan kerjasama dengan dua jenama antarabangsa untuk meningkatkan lagi nilai komersil Harimau Selatan.

Baca Juga:

Menurut kenyataan rasmi, antara perincian kerjasama itu adalah termasuk pembukaan cawangan di Stadium Sultan Ibrahim yang ikonik, ‘visibility’ untuk kelab, kempen bersama dan ganjaran istimewa buat Keluarga JDT.

Syarikat minuman terkemuka, Starbucks juga bakal membuka cawangannya di Stadium Sultan Ibrahim. ‘The Home of Southern Tigers’ itu turut mempunyai cawangan Woodfire Burgers, KFC dan Subway.

Ini adalah selari dengan sasaran JDT untuk menjadikan Stadium Sultan Ibrahim sebagai sebuah tarikan pelancongan dimana pengunjung boleh menikmati makanan, membeli-belah serta menonton bola sepak.

Sebelum ini, JDT telah bekerjasama dengan beberapa jenama antarabangsa termasuk Socios.com, Nike, UNICEF, Hublot, Aston Martin Racing Asia, HID Global, Subway, Life Fitness dan Universal Music.

Kerjasama dengan jenama-jenama antarabangsa ini juga menunjukkan peningkatan jenama kelab yang hebat dan kukuh sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa sejak JDT ditubuhkan oleh DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) pada 2013.

Ia juga membuktikan juara liga super 9 kali itu kini semakin dikenali di seluruh dunia sekaligus mengekalkan status sebagai kelab bola sepak terbaik di Malaysia.

“Benda ini amat positif apabila kelab yang kami bina ini, JDT mendapat sambutan hebat daripada syarikat luar negara dan ini akan membantu kami mencapai sasaran RM1 bilion,” kata TMJ dalam sidang media di ibu pejabat JDT pada 21 oktober 2020.