Bekas pengurus skuad kebangsaan Perancis, Raymond Domenech menganggap keputusan Didier Deschamps membariskan Karim Benzema bagi memperkuatkan Les Blues dalam saingan Euro 2020 dapat memberikan kesan buruk buat pasukan tersebut.

Keputusan yang diambil itu nyata mengejutkan banyak pihak kerana Deschamps dilihat langsung tidak menghiraukan Benzema sebaik sahaja isu ugutan beliau terhadap Mathieu Valbuena berhubung skandal video lucah rakan baiknya itu.

Kali terakhir penyerang utama Real Madrid itu menyertai skuad kebangsaan Perancis adalah pada November 2015.

Prestasi cemerlang Benzema bersama Los Blancos pada musim ini dan Olivier Giroud yang kurang minit perlawanan bersama Chelsea mungkin menjadi penyebab utama Deschamps kembali memanggil penyerang berusia 34 tahun itu.

Bagaimanapun, Domenech yang pernah membawa Perancis muncul naib juara Piala Dunia 2006 mempunyai pendapatnya tersendiri berhubung kehadiran semula Benzema ke dalam pasukan.

“Semuanya akan membuatkan ianya menjadi bingung, ia juga akan menyebabkan keadaan kurang senang. Sudah tentu akan ada yang bersetuju dan juga tidak bersetuju dengan perkara ini.”

“Antara keburukannya ialah semua mata akan tertumpu kepada Karim, dan secara tiba-tiba, pemain lain akan berasa dipinggirkan sehingga mereka tidak mengetahui apakah peranan mereka kerana di sana kami akan melihat dan membicarakan tentang Karim sahaja selama dua minggu ,” ujar Domenech menurut sumber Goal.

“Apakah dia akan beraksi pada pertandingan itu? Adakah dia akan menggantikan Kylian Mbappe? Bagaimana kelakuannya di sana nanti? Semua pasti bingung memikirkannya. Dia memiliki sisi peribadi yang memalukan.”

“Jika dia [Deschamps] membawa Karim masuk pada Mac, mungkin kami tidak tidak kisah dengannya. Tetapi mungkin pada ketika itu Deschamps masih belum bersedia untuk membawanya kembali [ke dalam pasukan].”

“Ada sedikit keraguan bagi saya yang akan menjadi masalah buat Karim Benzema iaitu bagaimana cara dia akan berhubungan dengan orang lain,” tambah Domenech lagi.

 

 

 

Sumber