Pemain pertahanan Vietnam, Doan Van Hau akhirnya menjalani penampilan pertama bersama skuad utama SC Heerenveen apabila masuk sebagai pemain gantian ketika Heerenveen berdepan dengan Roda JC dalam perlawanan pusingan kedua KNVB Cup.
Sejak menyertai pasukan itu secara pinjaman daripada Ha Noi FC pada Ogos lalu, Van Hau banyak terlibat dengan pasukan pasukan simpanan dan skuad B-21 tahun Heerenveen. Namun, kini nampaknya Van Hau sudah mendapat kepercayaan pengendali pasukan, Johnny Jansen untuk beraksi bersama skuad utama.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Abe Lenstra, Heerenveen mencatat kemenangan 2-0 hasil jaringan Mitchell van Bergen dan Joey Veerman masing-masing pada separuh masa pertama dan kedua. Apabila perlawanan memasuki minit ke-89, Van Hau dibawa masuk bagi menggantikan Sherel Floranus. Pemain berusia 20 tahun ini turut dilayangkan kad kuning pada masa kecederaan.
Heerenveen akan menghadapi Heracles Almelo dalam saingan Eredivisie pada Sabtu ini dan tidak mustahil Doan Van Hau diberi peluang untuk sekali lagi tampil. Apa yang perlu dilakukan ialah beliau perlu bekerja keras ketika sesi latihan bagi memikat hati Jansen.
Baru-baru ini, Van Hau menjadi watak penting dalam perjalanan skuad B-23 tahun Vietnam memenangi pingat emas Sukan SEA 2019 di Filipina.
Baca artikel lain mengenai Doan Van Hau di sini:
SC Heerenveen Tidak Benarkan Doan Van Hau Beraksi Untuk Vietnam Dalam AFC U23 Championship 2020
Kerana Cederakan Evan Dimas, Laman Instagram Doan Van Hau Diserang Oleh Penyokong Indonesia