Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan masalah untuk menjulang trofi Piala Sultan Haji Ahmad Shah buat kali ketujuh apabila skuad kendalian Benjamin Mora itu berjaya menundukkan Kuala Lumpur City FC 3-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.
Kejayaan perlawanan Sumbangsih itu juga sekali gus melunaskan dendam JDT yang tumbang ditangan lawan yang sama pada aksi final Piala Malaysia musim lalu.
Kehadiran dua pemain import baharu iaitu Carli De Murga dan Fernando Martin Forestieri jelas meningkatkan lagi keupayaan pasukan ‘tuan rumah’ untuk lebih mendominasi perlawanan sebaik wisel permulaan ditiupkan.
JDT tidak menunggu lama untuk menguji gawang KL City yang dikawal Kevin Ray Mendoza Hansen apabila skuad Harimau Selatan itu mendapat sekurang-kurangnya tiga peluang terbaik untuk mendapatkan jaringan pada 10 minit awal.
Bagaimanapun, percubaan menarik daripada Leandro Velazquez dan Fernando hanya sedikit melewati serta tersasar sementara kelekaan Declan Lambert dalam kawasan penalti hampir dihukum Arif Aiman Mohd Hanapi tetapi pantas diselamatkan pertahanan KL City.
Stadium Sultan Ibrahim bergempita pada minit ke-26 selepas Nazmi Faiz Mansor yang melakukan larian ke dalam kawasan penalti berjaya menanduk masuk bola hasil hantaran lintang dilakukan Arif Aiman untuk meletakkan JDT di hadapan.
Tidak cukup dengan jaringan pembukaan itu, JDT hanya memerlukan lima minit untuk melebarkan kedudukan menerusi Fernando yang mencipta jaringan berkelas dunia hasil percubaan dari luar kawasan penalti bagi menewaskan Kevin Mendoza.
Masih belum selesa dengan kelebihan yang dimiliki, jentera hadapan JDT terus bernafsu untuk menambah jaringan namun percubaan leret Natxo Insa pada minit ke-35 hanya sedikit tersasar di sebelah kiri ketika Kevin Mendoza sudah terpaku melihat percubaan tersebut.
Kevin kemudiannya bertindak cemerlang dalam menafikan rembatan jarak dekat dilakukan Bergson da Silva pada masa kecederaan bagi mengelakkan gawangnya terus dibolosi.
Jaringan ketiga JDT hadir pada minit ke-84 apabila pemain gantian, Afiq Fazail menyudahkan serangan balas pantas yang dilancarkan dengan teknik yang cukup berkualiti untuk jaringan di luar kawasan penalti.
Kemenangan 3-0 itu memastikan Piala Sumbangsih terus menjadi milik gergasi bola sepak tanah air itu dan ia merupakan kemenangan kelima berturut-turut dilakarkan mereka.