Penyerang Kuala Lumpur, Guilherme De Paula, tidak mahu terlalu memikirkan gelaran penjaring terbanyak sepanjang zaman skuad warga kota sebaliknya misi untuk menyelamatkan pasukan lebih penting.
Pemain import dari Brazil itu kini hanya memerlukan tiga lagi jaringan bagi mencipta sejarah memadamkan rekod 67 gol legenda Fandi Ahmad.
De Paula bagaimanapun tidak mahu meletakkan sasaran tertentu bila dia mampu mencipta rekod itu kerana apa yang penting ialah kemenangan Kuala Lumpur dalam setiap perlawanan.
Paling mustahak, dia mahu memastikan Kuala Lumpur mampu melepasi zon penyingkiran selepas permulaan suram di awal musim apabila kalah enam perlawanan berturut-turut.
“Memang saya cukup berbangga dan berbesar hati kerana tiga tahun di sini bersama Kuala Lumpur, saya hampir penuhi sasaran apabila mampu lakukan 65 jaringan dan hanya tiga gol sahaja lagi letakkan nama saya dalam sejarah pasukan.
“Namun saya tidak mahu terburu-buru dalam masa terdekat dengan letak sasaran bila mahu dapatkan tiga lagi jaringan itu kerana keutamaan sekarang adalah untuk pasukan yang sedang berjuang di zon penyingkiran.
“Masih ada tujuh perlawanan liga, saya akan beri fokus dalam satu demi satu perlawanan dan angka jaringan itu akan dipecahkan secara tidak langsung jika saya mampu kekalkan prestasi terkini, ” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan Kuala Lumpur di Pudu Ulu, pada Khamis.
Penyerang berusia 32 tahun itu kini sudah meledak tujuh gol dalam saingan Liga Super termasuk hatrik ketika membenam PKNP FC pada aksi terakhir Liga Super, 26 Mei lalu.
Berdepan Selangor dalam aksi ‘derby Lembah Klang’ di Stadium Shah Alam hari ini merupakan peluang terbaik buat De Paula menambah jaringan ke atas bekas pasukan yang pernah diwakilinya pada musim 2015.
Sementara itu, jurulatih Kuala Lumpur, Chong Yee Fatt, mengakui kehadiran De Paula yang mengalami kecederaan pada awal musim mengubah segala jalan cerita pasukannya selepas dilihat tidak bermaya ketika kempen liga bermula.
Tambahnya, De Paula jelas menghadirkan gerun kepada barisan pertahanan lawan malah Yee Fatt sifatkan penyerang importnya itu antara pemain yang punyai sentuhan magis ketika mendapat peluang dalam kotak penalti lawan.
“Kami berada dalam mood yang cukup positif sejak hadirnya De Paula sejak tiga bulan lalu sebaik pulih daripada kecederaan kerana dia sememangnya ada sentuhan pemusnah yang kita amat perlukan.
“Jika dia tidak jaringkan gol dalam sesuatu perlawanan, dia tetap buka ruang kepada rakan sepasukan mendapatkan jaringan kerana ramai pemain lawan akan beri banyak tumpuan kepada dirinya.
“Dia sememangnya datang pada masa yang tepat dan kita harap bertemu Selangor, kita akan teruskan pemburuan kemenangan kerana dalam situasi sekarang, kami tidak boleh lagi keciciran sebarang mata jika tidak mahu berada dalam zon penyingkiran, ” katanya.