Prestasi cemerlang pasukan Liga M3, DDM FC pada awal musim ini akhirnya berjaya menarik minat beberapa penaja untuk melabur ke atas kelab amatur itu.

Pengurus pasukan, Mohd Firdaus Kamar Ariff mengesahkan terdapat perbincangan antara empat hingga lima penaja yang berminat membantu skuad itu bagi mengharungi musim 2019.

Jelasnya, walaupun mereka tidak akan terlibat sebagai penaja utama, namun sekurang-kurangnya dengan kehadiran beberapa pihak yang sudi membuat pelaburan ke atas pasukan itu, ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangan.

DDM FC
Sumber Gambar: DDM FC

Apa yang pasti, minat yang ditunjukkan oleh pihak penaja berkenaan adalah hasil kejayaan cemerlang barisan pemain pada awal musim dengan rentetan kemenangan 6 perlawanan berturut-turut sekaligus menjadi pencabar hebat kepada pasukan lain.

“Pada awalnya memang kita bergelut untuk mencari kewangan kerana beraksi dalam Liga M3 ini bertaraf amatur dan harus mempunyai percaturan yang terbaik untuk harungi sepanjang musim.

“Nyata, percaturan kami berhasil apabila kami mempamerkan aksi terbaik untuk raih enam kemenangan berterusan yang akhirnya berjaya membuka mata ramai pihak yang ingin menaja pasukan kami.

“Kami masih lagi menunggu kata putus dan sekarang sudah dalam fasa akhir perbincangan di mana kami amat berharap satu keputusan positif dapat dicapai bersama penaja-penaja berkenaan”, katanya.

DDM FC
Sumber Gambar: DDM FC

Berkenaan isu play-off yang perlu dilalui oleh juara Liga M3 untuk layak ke saingan Liga Perdana, Firdaus menyifatkan ia adalah wajar walaupun hakikatnya sudah pasti ramai yang mengimpikan slot kelayakan automatik.

Namun, realitinya beliau memahami bahawa bukan mudah untuk sesuatu pasukan itu layak secara automatik beraksi di liga profesional.

“Selepas mendapat penjelasan penuh daripada pihak MFL (Malaysian Football League) dan AFL (Amateur Football League) berkenaan isu play-off ini, saya faham apa yang dimaksudkan dan menerima setiap keputusan yang dibuat oleh mereka.

“Kita kena faham jurang antara Liga Perdana dan Liga M3 sememangnya jauh dan memerlukan persediaan yang cukup rapi daripada sesebuah pasukan untuk beraksi di saingan profesional.

“Bukan sahaja pasukan kena bersedia, daripada aspek pengurusan juga cukup penting dan bukannya senang-senang untuk kita mendapat slot automatik macam itu sahaja.

“Jadi bagi saya, aksi play-off ini cukup penting dalam kita merangka persiapan terbaik bukan sahaja untuk sekarang, tetapi jangka masa panjang juga”, katanya.

Untuk rekod, pasukan DDM ketika ini di tangga kedua liga M3 dan bersaing rapat dengan ketinggalan satu mata sahaja di belakang pendahulu, Kuching FA .