Usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida mahu berguru dengan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) bagi memastikan TRW Kelantan kembali sebagai sebuah pasukan yang digeruni.

Baca Juga:

Langkah ini diambil sebagai salah satu usaha beliau untuk mengambil alih Kelantan dari Norizam Tukiman atau Zamsaham dan berharap TMJ sudi untuk berkongsi ilmu dengan beliau.

“Menjadi penaja dan pemilik adalah perkara berbeza. Sebagai persiapan, saya perlu mendapatkan seberapa banyak ilmu bagi melancarkan lagi pengurusan jika mengambil alih pasukan.

“Besar harapan saya agar Tuanku dapat menerima hasrat ini. Pembaharuan dan nafas baharu yang disuntik oleh Tuanku dalam arena bola sepak Kelantan wajar dijadikan sebagai panduan oleh saya sebagai orang baharu,” katanya.

Datuk Seri Vida akan melawat fasiliti dan kemudahan yang ada di JDT sebagai langkah awal dalam proses pembelajaran beliau sebelum bertemu dengan TMJ.

Datuk Seri Vida merupakan salah satu pihak yang berminat untuk membeli Kelantan selain daripada ahli perniagaan lain iaitu Erfan Akif atau Erfan Lee Ruslan yang memiliki Erfan Gym And Fitness Centre.

Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah yang menjelaskan pemilik kelab perlu menyediakan dana yang lebih besar jika tidak dapat menjana pendapatan menerusi jualan tiket serta penajaan.

“Kalau beli kelab tetapi tiada duit (untuk operasi pasukan) tak guna dan sebab itu banyak orang silap, beli pasukan selepas itu tiada duit untuk urus. Malah, duit sokongan pun kena ada untuk digunakan jika tak dapat jana pendapatan lain.

“Jadi untuk memiliki kelab bola sepak buat kali pertama anda perlu ada sekurang-kurangnya RM15 juta bagi menguruskan kelab untuk tempoh semusim. Paling tepat orang yang nak miliki bola sepak kena ada duit dan mampu berbelanja besar, itu sahaja,” katanya.