Menjelang perlawanan penting menentang pasukan Jepun dalam kempen kelayakan saingan AFC B-16 2020, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menyeru para pemain negara agar berjuang habis-habisan sekaligus meraih tiga mata penuh.
Perlawanan menentang Jepun akan berlangsung jam 4 petang ini di Stadium Nasional, Laos dan Datuk Hamidin menggesa para pemain agar mengikut perancangan yang telah ditetapkan oleh ketua jurulatih, P.Maniam.
“Terlebih dahulu seperti ada saya ingatkan sebelum ini, bukan mudah untuk sesiapa sahaja mengekalkan kemenangan konsisten.
“Jadikan kekalahan kepada Laos tempoh hari sebagai pemangkin untuk kita bangkit semula menentang Jepun hari ini.
“Sememangnya menjadi cita-cita kita untuk menang dengan Jepun namun pemain perlu bekerja keras, berjuang 100 peratus dan paling utama fokus serta ikut corak permainan yang ditetapkan jurulatih P. Maniam.
“Apa yang penting prestasi pemain di atas padang. Saya dan seluruh penyokong Malaysia yakin dengan kemampuan pemain. Ayuh berjuanglah habis-habisan demi lencana di dada,” katanya.
Bagaimanapun Datuk Haji Hamidin tetap menegaskan kalah dan menang bukan soal utama namun apa yang penting pemain dapat menimba pengalaman dan belajar daripada perlawanan.
“Di usia begini kita lebih mementingkan pembangunan berbanding kemenangan tetapi penting untuk kita meningkatkan prestasi diri,” kata Datuk Haji Hamidin.
Skuad B-15 kebangsaan memulakan rentak cemerlang dengan menundukkan Kemboja 7-0 namun tewas 1-0 di tangan tuan rumah, Laos pada 20 September.
Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad B-15 tahun negara di sini:
Kelayakan AFC B-16: Anak Buah P. Maniam Buru Kemenangan Kedua