Meskipun skuad bawah 18 tahun negara (B-18) tidak berjaya mempertahanan kejuaraan AFF B-18 apabila tewas kepada Australia, 0-1 namun Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin tetap mengucapkan tahniah dan berpuas hati dengan prestasi anak buah Brad Maloney.
Katanya dalam satu kenyataan di laman facebook FAM, beliau menyifatkan para pemain sudah melakukan yang terbaik dan mahu mereka fokus pada saingan kelayakan AFC B-19 yang akan berlangsung pada bulan November ini.
“Para pemain sudah menampilkan aksi cemerlang serta terbaik pada perlawanan ini tetapi apa yang penting saya mahukan anda terus fokus pada perlawanan kita yang akan datang iaitu Kelayakan Kejuaraan B-19 AFC 2020 di Kemboja pada 2-10 November ini.
“Kita tidak perlu menoleh ke belakang sebaliknya terus maju ke hadapan dengan jadikan kesilapan kekalahan ini sebagai iktibar untuk perlawanan lain selepas ini.
“Tahniah dan terima kasih kepada Brad dan barisan kejurulatihannya iaitu Khan Hung Meng dan Yong Wai Hwang serta pegawai-pegawai lain diketuai pengurus pasukan yang juga exco FAM, Dato’ Kamarul Ariffin Mohd Shahar yang turut sama bekerja keras sepanjang hampir dua minggu mereka berada di Vietnam,” kata Dato’ Haji Hamidin.
Bagaimanapun, kemenangan Australia ke atas skuad negara semalam tidak begitu mudah apabila mereka terpaksa menunggu sehingga minit ke-80 hasil rembatan Lachan Ricky Brook menewaskan penjaga gol Malaysia, Firdaus Iman yang masuk menggantikan Sikh Izhan kerana mengalami kecederaan.
Ini adalah kejuaraan kelima Australia selepas melakukannya pada tahun 2006, 2008, 2010, 2016 dan turut menyamai pencapaian Thailand. Manakala Malaysia muncul sebagai naib juara sebanyak 6 kali dari tahun 2003, 2005, 2006, 2007, 2017 hingga 2019.
Pada Kelayakan Kejuaraan B-19 AFC 2020 ini, Malaysia diletakkan dengan Kumpulan G dengan tuan rumah, Kemboja, Thailand, Brunei dan Northern Mariana Islands.
Sebanyak 46 negara yang dibahagikan kepada 11 kumpulan bakal bersaing bagi merebut tempat ke pusingan akhir dengan juara setiap kumpulan dan lima pasukan terbaik di tempat kedua mara ke pusingan akhir.
Pusingan kelayakan akan berlangsung dari 2 hingga 10 November ini di negara tuan rumah yang dipilih.