Pemain muda Selangor FC, Ahmad Danial Ahmad Asri, berharap pemain-pemain muda seangkatan dengannya tidak takut untuk terus memberanikan diri beraksi di posisi penyerang biarpun kebanyakan pasukan bergantung kepada pemain import.
Menurutnya, setiap pemain perlu ada keazaman yang tinggi serta berikan yang terbaik semasa sesi latihan kerana peluang pasti akan hadir jika sentiasa bersikap positif.
“Memang tidak dinafikan semua pasukan banyak gunakan pemain import kerana mereka lebih bagus tetapi nasihat kepada adik-adik yang mungkin sekarang ini mahu serius bermain di posisi penyerang, jangan ada perasaan takut.
“Teruskan berusaha dan jangan berasa diri kita ini sangat kecil, kita tidak tahu mungkin kerja keras itu buatkan jurulatih akan nampak.
“Kita ambil pengalaman dan belajar dari pemain import kerana itu yang sebaiknya bagi memantapkan ilmu sebagai pemain yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya kepada MFL.
Pemain muda @SelangorFC, Danial Asri, mengakui berasa bertuah bergandingan dengan pendahulu penjaring terbanyak Liga Super 2021, Ifedayo Omosuyi yang sentiasa bertindak menjadi pembimbing di atas padang.
Artikel penuh ⤵#LigaSuper2021
— Malaysian Football League (@MFL_MY) August 25, 2021
Dari 19 perlawanan, Danial telah memulakan permainan sebanyak lapan kali di dalam kesebelasan utama selain 10 kali selaku pemain gantian.
Tambah Danial, dia akui jaringan sulungnya di Liga Super semasa berdepan Penang FC pada 31 Julai lalu memberikan banyak kelegaan buat dirinya selepas menanti sekian lama.
Apa yang terjadi sedikit sebanyak memberikan keyakinan buat dirinya apabila sekali lagi berjaya meledak jaringan kedua semasa berdepan Kedah Darul Aman FC pada 13 Ogos.
“Semasa saya dapat lakukan jaringan pertama dengan Penang, perasaannya sukar digambarkan kerana saya sangat lega bercampur gembira kerana itulah gol yang saya cari-cari di Liga Super sejak awal musim ini.
“Selepas itu saya dapat jaringkan satu lagi gol semasa berdepan Kedah, dua gol ini kian memberikan saya rasa lagi bersemangat bagi mendapatkan lagi jaringan pada perlawanan akan datang.
“Tahun lepas saya sudah menjadi penjaring terbanyak bagi pemain tempatan di Liga Super namun saya tidak meletakkan harapan yang sama di Liga Super kerana sedar sasaran itu melebihi daripada kemampuan saya buat masa ini,” katanya.
28' & 30' Gol | Ifedayo Omosuyi menyamakan kedudukan sebelum Danial Asri meletakkan Selangor FC di depan!@kda_fc 1-2 @selangorfc #LigaSuper2021 pic.twitter.com/cjm8vSE8hd
— Malaysian Football League (@MFL_MY) August 13, 2021
Beliau juga mengakui dirinya cukup bertuah dapat berganding dengan pendahulu penjaring terbanyak Liga Super 2021, Ifedayo Omosuyi yang sentiasa bertindak menjadi pembimbing di atas padang.
Situasi itu sedikit banyak membantu perkembangan Danial yang mula perlahan-lahan mula mendapat rentak selepas berjaya menjaringkan dua gol daripada empat aksi terakhir bersama pasukan.
“Ifedayo memang cukup bagus dalam padang dengan telah menjaringkan 22 gol setakat ini dan banyak pengalaman serta tunjuk ajar yang saya dapat dari dia sama ada semasa latihan atau hari perlawanan.
“Dia tidak pernah marah dan sentiasa berikan sokongan kalau saya ada buat silap malah sentiasa berikan kata-kata semangat untuk saya percaya dengan cara permainan sendiri.
“Saya sangat suka dengan suasana sebegini kerana khidmat pemain muda rasa dihargai dan saya sangat berterima kasih kepada jurulatih kerana berikan peluang untuk bermain walau saya masih muda,” katanya kepada MFL.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.
Liga Super 2021: Perak Semakin ‘Tenat’, Selangor Kekalkan Kecemerlangan