Pada hari jumaat lepas, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengesahkan remaja berumur bawah 18 tahun yang lengkap divaksin, dibenarkan ke stadium termasuk semua fasiliti sukan bermula 8 November ini.
Bagaimanapun, perkembangan itu masih belum cukup mengembirakan para peminat bola sepak tempatan kerana sebarang aktiviti minum air atau makan di dalam stadium tidak dibenarkan ketika menyaksikan perlawanan Liga Malaysia.
Walaupun tidak beraksi di atas padang, mereka yang hadir ini sentiasa memberikan sorakan padu kepada pasukan masing-masing sekaligus mendatangkan rasa haus sepanjang 90 minit perlawanan.
Justeru itu, para peminat bola sepak merayu agar Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan aktiviti minum air di dalam stadium dan mereka juga sanggup membawa botol minuman sendiri dari rumah dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
“Berilah kelonggaran sedikit untuk penyokong sekurang-kurangnya dibenar membawa masuk minuman ke stadium. Harap MKN mendengar luahan daripada penyokong.
“Memang dahaga dan tekak kering. Kita juga kena basahkan tekak dan paru-paru dengan air untuk kesihatan serta supaya tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku,” kata Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Faizal Wahid kepada Berita Harian.
#BHsukan Penyokong rayu MKN benarkan aktiviti minum air di dalam stadium https://t.co/vC32oInCwQ
— Berita Harian (@bharianmy) November 7, 2021
Pengerusi Kelab Penyokong Jaguh Utara (JUFC), Safarizal Mohd Sobri turut menyokong cadangan membawa masuk botol minuman sendiri untuk mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 dan mengelakkan penyokong membaling objek ke padang.
“Kalau kita nak benarkan orang jual minuman dalam stadium, mungkin SOP takkan boleh dikawal. Jadi, kita minta MKN benarkan minuman dibawa masuk oleh penyokong.
“Bayangkan 90 minit bersorak tanpa air, kalau tak makan tak apa lagi. Harap boleh benarkan penyokong bawa air tanpa penutup yang mana tak ada risiko kita boleh baling objek ke dalam padang kerana air botol mineral memang tidak dibenarkan dari dulu lagi,” katanya.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.
Nafi Ada Potongan Gaji 50%, Selangor Sentiasa Bayar Gaji Penuh ‘On Time’
Kopa Arena Kongsi Status Terkini Proses Pembelian Saham Perak