Persatuan Bola Sepak Republik Czech (FACR) pada Isnin mengumumkan bahawa ia telah berpisah dengan jurulatih skuad kebangsaan, Miroslav Koubek, susulan penyingkiran pasukan itu pada pusingan pertama Piala Dunia.

Pengendali berusia 74 tahun itu membimbing Republik Czech meraih slot Piala Dunia pertama mereka dalam tempoh 20 tahun menerusi kemenangan penentuan sepakan penalti ke atas Ireland dan Denmark dalam aksi play-off Mac lalu.

Namun, skuad Czech gagal menyerlah dalam kejohanan yang dihoskan bersama oleh Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat itu, apabila sekadar mengutip satu mata menerusi keputusan seri 1-1 menentang Afrika Selatan, selain tewas kepada Korea Selatan dan Mexico dalam Kumpulan A.

“Kami telah bersetuju dengan jurulatih Miroslav Koubek untuk menamatkan kerjasama kami,” kata ketua FACR, David Trunda dalam satu kenyataan.

“Dalam satu mesyuarat hari ini, jurulatih itu telah menawarkan peletakan jawatannya dan saya memutuskan untuk menerima tawaran tersebut selepas perbincangan yang terbuka dan telus,” tambah beliau.

Koubek menandatangani kontrak dua tahun dengan FACR ketika beliau mengambil alih pasukan itu sebelum aksi play-off, namun beliau dikritik hebat susulan kegagalan di Piala Dunia.

“Keputusan saya juga disebabkan oleh kempen media yang berasaskan beberapa maklumat separa benar mengenai diri saya,” kata Koubek dalam satu kenyataan.

“Dalam suasana sebegini, tugas saya bersama pasukan kebangsaan Czech tidak lagi memberi makna.”

Skuad Czech turut kehilangan penyerang utama mereka, Patrik Schick, selepas tersingkir daripada Piala Dunia.

Penyerang Leverkusen berusia 30 tahun itu mengumumkan persaraannya daripada pentas antarabangsa selepas beraksi dalam 56 perlawanan dan menjaringkan 26 gol.

Schick mengkritik prestasi pasukan Czech dalam satu kenyataan pada Khamis lalu, dengan menyatakan bahawa “kita perlu berdepan dengan kenyataan dan mengubah beberapa perkara yang tidak menjadi”.

Republik Czech dijadualkan beraksi di peringkat tertinggi Liga Negara-Negara Eropah 2026/2027, menentang Croatia, England dan Sepanyol dalam Kumpulan A3.