Argentina melangkah ke pentas akhir Copa America 2021 selepas berjaya menundukkan Colombia 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas aksi sebenar terikat 1-1 pada perlawanan yang berlangsung di Estadio Nacional Mane Garrincha, sebentar tadi.

Kemenangan penting itu juga turut mengesahkan perlawanan akhir impian Argentina bertemu Brazil pada 11 Julai ini dapat direalisasikan.

Kali terakhir menjuarai saingan Copa America pada edisi 1993, Argentina memulakan aksi dengan kemas apabila mengasak kubu Colombia sebaik sahaja perlawanan dimulakan pengadil bertugas, Jesus Valenzuela dari Venezuela.

Berpunca daripada gerakan solo Lionel Messi yang melepasi kawalan tiga pertahanan Colombia, beliau kemudiannya melakukan hantaran lintang buat Lautaro Martinez tetapi tandukan penyerang muda itu sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol pada minit keempat.

Gandingan dua pemain tersebut nyata menjadi masalah buat skuad kendalian Reinaldo Rivera itu apabila Martinez berjaya menyudahkan dengan baik ‘cutback’ Messi dalam kawasan penalti untuk membuka tirai jaringan.

Colombia memberikan respon pantas terhadap jaringan tersebut selepas berjaya mendapatkan peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan berselang seminit kemudian.

Bagaimanapun, tolakan Juan Cuadrado setelah menerima hantaran lintang daripada Luis Diaz dinafikan dengan cemerlang penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez.

Bagaikan mendapat tonik berguna selepas itu, Colombia tampil dengan lebih garang dan menguasai permainan sehingga memberikan kesukaran buat Argentina untuk mencipta gerakan.

Colombia terlepas dua peluang keemasan untuk kembali menyamakan kedudukan apabila rembatan jarak jauh Wilmar Barrios terkena Giovani Lo Celso dan kemudiannya bola hanya singgah di tiang tol pada minit ke-36.

Pintu gol sekali lagi menjadi penghalang buat Colombia selepas tandukan daripada Yerry Mina ketika situasi sepakan penjuru pula terkena palang gol.

Jaringan penyamaan yang dinantikan Colombia menjelma pada minit ke-61 dimana gol tersebut berpunca daripada sepakan percuma pantas diambil Edwin Cardona membolehkan Luis meluru pantas ke pintu gol Argentina.

Luis jelas melepaskan peluang tersebut untuk melakukan kuisan yang sekali gus menewaskan Martinez untuk menggembirakan kem Colombia.

Aksi selepas itu bertambah rancak dengan Argentina semakin bernafsu dalam menggandakan asakan bagi memburu jaringan kemenangan, tetapi usaha mereka tidak membuahkan hasil untuk pemenang ditentukan menerusi sepakan penalti.

Martinez akhirnya muncul wira buat Argentina apabila penjaga gol berusia 28 tahun itu menafikan sepakan yang diambil Davinson Sanchez, Yerry Mina dan Edwin Cardona untuk memastikan kemaraan La Albiceleste ke perlawanan akhir.

Sepakan penalti

Colombia

1) Juan Cuadrado (/) – Gol

2) Davinson Sanchez (X) – Ditepis Emi Martinez

3) Yerry Mina (X) – Ditepis Emi Martinez

4) Miguel Borja (/) – Gol

5) Edwin Cardona (X) – Ditepis Emi Martinez

Argentina 

1) Lionel Messi (/) – Gol

2) Rodrigo De Paul (X) – Melewati palang gol

3) Leandro Paredes (/) – Gol

4) Lautaro Martinez (/) – Gol