Tugas berat sedang menanti skuad Helang Merah apabila bakal bertemu Selangor dalam saingan CIMB Liga Super 2020 di Stadium Darul Aman malam esok. Selepas tiga perlawanan, mereka masih belum mencatat sebarang kemenangan dan hanya mampu mengutip 1 mata setakat ini.
Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak menganggap misi kali ini lebih sukar kerana mereka turun beraksi tanpa sorakan padu daripada penyokong berikutan arahan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengadakan perlawanan tanpa penonton akibat penularan wabak Coronavirus (Covid-19).
Bagaimanapun, mereka tekad memburu tiga mata penuh dan sekaligus memperbaiki kedudukan dalam Liga Super musim ini.
“Jadi pada perlawanan menentang Selangor ini, saya tetap mengganggapnya satu aksi yang sukar dan ditambah pula dengan ketiadaan penyokong yang selama ini memberi kekuatan tambahan buat pemain dalam apa jua keputusan yang kami lalui setakat ini.
“Kita tahu ini satu perlawanan yang penting untuk Kedah mendapatkan tiga mata di laman sendiri, dan dengan semangat juang yang ada pada semua pemain saya berharap dan percaya Kedah mampu bangkit kembali mendapatkan tiga mata yang dicari sejak bermulanya Liga Super.” katanya dalam Arena Metro.
Mengharungi tiga perlawanan tanpa kemenangan, situasi tersebut jelas berbeza berbanding musim lalu dimana Kedah mengharungi lima perlawanan tanpa kalah.
“Jika mulai perlawanan seterusnya kami akan meraih kemenangan, anda semestinya akan memberitahu bahawa prestasi Kedah sudah meningkat. Buat masa ini, kami sedang berusaha untuk mendapatkan rentak permainan daripada perlawanan ke perlawanan,” kata Aidil.
Sementara itu, Penjaga gol Kedah, Shahril Saari, kecewa gagal membantu pasukannya meraih kemenangan dalam penampilan pertama dalam saingan Liga Super musim ini.
“Selepas digantung lima perlawanan, saya bergembira kerana kembali beraksi dalam perlawanan ini. Saya agak kecewa kerana gagal meraih kemenangan untuk pasukan kerana ia amat diperlukan buat pasukan ketika ini. Kami akan terus berusaha dalam perlawanan berikutnya,” katanya.
Lihat artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.
Penyokong Terengganu ‘Panas Kepala’ Dengan Tindakan Pengurusan Pasukan, Apa Logik Mohon Penangguhan?
Stadium Likas Bertukar Jadi ‘Perpustakaan’, Ketuk Tong Gelen Pun Tidak Dibenarkan
Kehadiran Penonton Ke Stadium Perlawanan Ke-3 Menurun Lebih 50%, 4 Venue Bawah 1000 Penonton