Gandingan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mempamerkan semangat juang tinggi untuk muncul juara Kejohanan Orleans Masters 2023 yang berlangsung di Perancis, petang tadi.

Baca Juga:

Lebih manis untuk diperkatakan, kejayaan menundukkan Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin itu merupakan kejuaraan sulung buat pasangan tersebut bagi saingan Super 300.

Sebelum ini, mereka mengungguli saingan lebih rendah iaitu dalam Kejohanan Cabaran Antrabangsa Fajr Iran pada Januari lalu.

Kejayaan manis itu bagaimanapun tidak hadir dengan mudah kerana wakil dari Chinese Taipei itu memberikan tekanan hebat pada kedua-dua set.

Berjaya menundukkan pemain pilihan keempat dari Indonesia pada aksi separuh akhir, Tang Jie dan Ee Wei kental bertahan untuk mencatatkan kemenangan 21-19 pada set pertama.

Kesilapan-kesilapan yang dilakukan pada set kedua hampir memakan diri apabila pasangan negara ketinggalan 2-9 pada satu ketika.

Bagaimanapun, karakter hebat jelas ditampilkan anak buah Nova Widianto itu untuk bangkit melawan dengan cukup bagi melakar kemenangan 21-17 sekali gus mengesahkan kejuaraan pertama buat negara dalam saingan Super 300 ke atas pada tahun ini.

Kemenangan itu juga menyaksikan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei membawa pulang wang tunai bernilai $18,960 dan kedudukan ranking ke-26 pada mereka ketika ini dijangka akan terus meningkat.

Tumpuan skuad badminton negara selepas ini beralih kepada Kejohanan Badminton Asia yang akan diadakan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 25 hingga 30 April nanti.