Chen Tang Jie-Toh Ee Wei melengkapkan kempen cemerlang dalam Kejohanan Terbuka Taipei 2023 apabila menjuarai saingan yang berlangsung di Arena Tian-mu, University of Taipei sebentar tadi.

Baca Juga:

Kejayaan yang cukup bermakna hadir selepas mereka tidak terlalu berdepan masalah untuk menundukkan gandingan tuan rumah, Chiu Hsiang Chieh-Lin Xiao Min dengan ‘straight set’ dalam tempoh masa 30 minit.

Kemenangan yang sekali gus menyaksikan gandingan ranking ke-19 dunia itu membawa pulang hadiah wang tunai bernilai $16,590.

Lebih manis ia merupakan kejuaraan kedua dimenangi oleh Tang Jie-Ee Wei pada tahun di mana mereka turut mengungguli kejohanan Orleans Master, April lalu.

Selepas terikat 2-2 pada permulaan set pertama, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei membuktikan perbezaan ranking yang agak ketara (Hsiang Chieh-Xiao Min di kedudukan ke-50 dunia) sememangnya memberikan kelebihan buat mereka.

Keadaan itu diterjemahkan dengan baik pasangan negara dengan kemenangan 21-12 bagi meningkatkan moral menuju ke set kedua.

Aksi bertenaga Tang Jie dan Ee Wei diteruskan pada set kedua dengan kelebihan 11-5 dimiliki pada rehat ‘interval’.

Segalanya tampak terus menjadi buat mereka untuk meneruskan rentak cemerlang sekali gus mengesahkan kejuaraan dengan kemenangan mudah 21-8.

Satu lagi wakil negara di pentas final, Man Wei Chong-Tee Kai Wun akan beraksi menentang pasangan beregu Chinese Taipei, Lu Ching Yao-Yang Po Han.
Gandingan negara itu merupakan juara bertahan kejohanan.