Pemain bintang Thailand, Chanathip Songkrasin mengakui sukar untuk negaranya menampilkan prestasi terbaik dalam saingan peringkat kelayakan sekaligus mara ke temasya Piala Dunia 2022.
Dalam satu temu bual bersama Changsuek, Chanathip berkongsi mengenai perjalanan beliau sebagai pemain bola sepak dan turut memberi pandangan mengenai prestasi skuad Gajah Perang dalam saingan peringkat kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
“Secara jujurnya, kami mempunyai peluang yang tipis untuk melayakkan diri ke Piala Dunia kerana kami tidak memiliki kualiti yang diperlukan. Ini masalah yang kami hadapi pada tahun 1990an kerana tidak mempunyai pemain berkualiti untuk bersaing di peringkat serantau.
“Minit bermain, disiplin pemain, kekuatan serta tahap kecergasan tidak mencukupi. Pada masa akan datang, kami perlu mengubah perkara ini untuk meningkatkan pasukan,” kata Chanathip Songkrasin.
Ketika ini Thailand menduduki tangga keempat dalam carta kumpulan G saingan peringkat kelayakan. Skuad bimbingan Akira Nishino mengumpul 6 mata, tiga mata dibelakang Malaysia yang menduduki tangga kedua hasil dari dua kemenangan dan satu kekalahan.
Thailand meraih kemenangan ketika berdepan Indonesia dengan keputusan 3-0 dan pasukan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan keputusan 2-1.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia di sini:
Media Indonesia Jelaskan Syahrian Abimanyu Mungkin Dipinjamkan Ke Kelab Divisyen 2 Sepanyol
RASMI: Fagiano Okayama Umumkan Lanjutan Kontrak, Hadi Fayyadh Kekal Di Jepun Buat Tahun Ke-3