Pasukan negara terpaksa melupakan khidmat pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman untuk perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Hong Kong selepas pemain itu mengalami kecederaan sekaligus dilepaskan daripada tugasan bersama skuad Harimau Malaya.

Artikel Berkaitan:

JDT kemudiannya memberikan penjelasan mengenai pelepasan Arif dimana Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Alistair Edwards menegaskan pemain itu mengalami kecederaan hamstring sekaligus terpaksa kembali ke kelab untuk menjalani proses pemulihan.

“JDT telah dimaklumkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bahawa Arif Aiman dan Endrick telah mengalami kecederaan. Pemeriksaan perubatan dari doktor Skuad Kebangsaan mengesahkan bahawa dua pemain ini tidak dapat beraksi untuk tempoh 6-7 hari.

“Arif pertama kali melaporkan kecederaan hamstringnya kepada doktor skuad kebangsaan sebelum perlawanan persahabatan menentang Turkmenistan minggu lepas manakala Endrick dikeluarkan selepas separuh masa pertama akibat kecederaan buku lali. Doktor skuad kebangsaan telah mengesahkan pada hari Ahad bahawa kedua-dua pemain ini tidak dapat diturunkan untuk perlawanan menentang Hong Kong.

“Oleh itu, JDT memohon untuk dua pemain ini dilepaskan kepada kelab memandangkan panggilan skuad kebangsaan tamat esok dan kami akan dapat memantau pemain ini dengan lebih baik dan merawat mereka untuk kembali ke tahap kecergasan penuh untuk tempoh yang lebih lama.

“Tidak ada gunanya kedua-dua mereka kekal di kem kebangsaan apabila mereka sudah pasti tidak dapat beraksi dalam perlawanan pasukan kebangsaan seterusnya disebabkan kecederaan. JDT ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan kebangsaan kerana bersetuju bahawa ia adalah yang terbaik untuk Arif dan Endrick meneruskan rawatan mereka dengan kami agar lebih bersedia untuk perlawanan-perlawanan kelab dan skuad kebangsaan yang akan datang,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak kelab.

Untuk perlawanan menentang Hong Kong, ketua jurulatih pasukan negara, Kim Pan-gon dijangka membuat beberapa perubahan dalam kesebelasan utama dan beliau mungkin memberi peluang kepada pemain yang belum beraksi ketika perlawanan menentang Turkmenistan.