Bekas pemain import pasukan Kelantan, Cassio De Jesus sedia mengadakan rundingan bersama bekas majikannya itu membabitkan tuntutan yang dibuat olehnya.
Peguam Cassio, Zhafri Aminurashid mencadangkan rundingan itu perlu menjalani proses mediasi di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bagi memastikan hak pemain itu dijaga.
Menurut Zhafri, mediasi perlu dilakukan jika KAFA serius mahu menyelesaikan masalah yang dihadapi dan mengelak persatuan tersebut daripada memberikan janji manis.
“Mediasi ini adalah perbincangan antara kedua-dua pihak untuk mendapatkan persetujuan bersama. Selepas bersetuju, CAS akan beri perintah persetujuan dan kalau mediasi dilakukan, rayuan KAFA akan dibatalkan.
“Saya cadangkan untuk adakan mediasi di CAS supaya sekurang-kurangnya ada persetujuan bertulis nanti.
“Jadi, apabila ada persetujuan bertulis sebagai formaliti demi kepentingan pemain, KAFA perlu patuhi persetujuan itu selaras dengan perintah CAS. Ini juga bagi memastikan supaya mereka serius untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Sebelum ini, Cassio De Jesus membuat tuntutan tunggakan gaji kepada KAFA sebanyak RM629,620.28.
KAFA membawa perkara ini ke CAS dan mereka diberikan tempoh dua minggu lagi bagi melengkapkan dokumen berhubung rayuan bekas pemain importnya itu.
Baca artikel lain mengenai pasukan Kelantan di sini:
KAFA Terpaksa Jadi ‘Pengemis’ Kerana Sayangkan Bola Sepak Kelantan