Baru-baru ini, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah mengarahkan pasukan Kelantan untuk membayar tunggakan gaji dari bekas pemain import mereka sebelum ini Cassio Francisco de Jesus berjumlah USD145,944.60 atau sekitar RM631,000.
Kegagalan untuk menjelaskan tuntutan itu akan mengakibatkan skuad The Red Warriors bakal terkubur, kerana berdepan hukuman berat penggantungan dari pihak Jawatankuasa Disiplin FIFA.
Situasi itu menyebabkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) terpaksa melancarkan tabung derma atas talian untuk mengumpulkan dana menjelaskan bayaran tersebut.
Menurut laporan daripada Berita Harian, mereka setakat ini berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak RM8,500.57 sehingga tengahari kelmarin termasuk sumbangan sebanyak RM1,000 daripada Persatuan Bolasepak Jajahan (PBJ) Jeli.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid menjelaskan mereka terdesak untuk memohon derma kerana krisis wabak pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara ketika ini menyukarkan lagi usaha untuk mencari dana tambahan.
“Kami terpaksa buat. Pada masa ini pasukan memang tiada pendapatan kerana tiada perlawanan. Saya sedar ada yang tidak setuju dan anggap KAFA seperti pengemis, tapi apa yang kami lakukan kerana sayangkan bola sepak Kelantan,” katanya kepada Berita Harian.
Peminat dan penyokong setia Kelantan yang mahu menyumbang, mereka boleh menderma atas nama Persatuan Bolasepak Kelantan secara dalam talian (online) di nombor akaun 553010630676 (Maybank).
Pihak KAFA juga akan memaklumkan jumlah kutipan ini dari masa ke semasa dan penderma juga boleh menghantar salinan resit sebagai bukti melalui WhatsApp di talian 013 9283293.
Baca artikel lain mengenai isu tunggakan gaji yang melibatkan pasukan Kelantan seperti dilaporkan sebelum ini.
Tiada Perlawanan Menyebabkan KAFA ‘Hilang’ RM100,000 Setiap Perlawanan, Pemain Mungkin Dipotong gaji
KAFA Mahu Bayar Tunggakan Gaji Amiridzwan Taj Secara Ansuran