Calon Presiden baharu Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dikatakan sedia untuk melaburkan wang sebesar RM3 Juta untuk digunakan sebagai bayaran pendahuluan bagi menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi oleh persatuan itu.
Calon yang menjadi pilihan Persatuan Bolasepak Jajahan (PBJ) itu sudah menyatakan kesediaan beliau bagi menggantikan Bibi Ramjani Ilias Khan bagi menerajui KAFA sekaligus melangsaikan hutang bertimbun yang ditanggung oleh KAFA.
Yang Dipertua PBJ Tanah Merah, Kamarudin Mohamad menyatakan pihaknya sudah mengadakan perjumpaan dengan seorang ahli politik di mana pencalonan beliau telah mendapat persetujuan daripada tujuh daripada sembilan PBJ dan ahli politik tersebut juga berminat dengan jawatan presiden KAFA.
“Setakat RM3 juta seperti yang dilaporkan oleh media, saya rasa dia tiada masalah untuk mengeluarkan duit sebanyak itu. Ini kerana pada masa sama, kita juga sedang dalam rangka kerja terakhir untuk mendapatkan penajaan daripada syarikat multinasional antarabangsa dan kami mengharapkan usaha ini berjaya,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Namun, nada berbeza disuarakan oleh wakil PBJ yang berpendapat calon yang diwar-warkan tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh dan berpotensi untuk menambahkan lagi masalah KAFA sekiranya calon tersebut dilantik sebagai presiden.
“Mana ada individu yang berani keluarkan RM3 juta daripada poket sendiri. Saya tahu ada beberapa calon berminat tetapi saya tengok, mereka pun macam tiada duit. Malah, beberapa individu yang namanya dicanang sebelum ini pun sudah menolak dan tidak bersedia,” kata wakil PBJ yang enggan didedahkan namanya.
Sebelum ini, mana-mana individu yang mahu menggantikan Bibi Ramjani sebagai presiden KAFA harus menyediakan wang sebanyak RM3 Juta untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain semasa dan bekas pemain serta beberapa hutang yang lain seperti bayaran stadium dan caruman wang pekerja.