Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) hari ini mengesahkan juara bertahan, Brunei DPMM FC tidak akan meneruskan baki saingan AIA Liga Premier Singapura (SPL) 2020 yang bermula sejak 17 Oktober lepas.
Keputusan itu dibuat kerana kelab dari Brunei tersebut dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara susulan penularan wabak pandemik COVID-19 di seluruh dunia sekaligus tidak dapat menghadapi perlawanan di Singapura.
“Kami dimaklumkan oleh DPMM FC bahawa mereka tidak dapat mengambil bahagian dalam perlawanan yang akan datang, kerana di sana pada masa ini tidak ada kebenaran untuk membenarkan mereka melakukan perjalanan ke Singapura.
“Pada masa ini juga tidak ada pengesahan rasmi mengenai tarikh mereka boleh ke luar negara kerana situasi semasa wabak COVID-19 di seluruh dunia cukup membimbangkan,” kata FAS dalam satu kenyataan.
#BREAKING: The Football Association of Singapore (FAS) confirmed today that Brunei DPMM FC will not participate in the remainder of the 2020 Singapore Premier League (SPL) season. pic.twitter.com/aVRvME9Sla
— Asian Football (@AsianFootballs) October 26, 2020
Bagaimanapun, baki perlawanan yang melibatkan pasukan lain tetap akan berlangsung seperti biasa untuk menentukan wakil Singapura ke kejohanan peringkat Asia seperti AFC Champions League (ACL) dan AFC Cup pada tahun 2021.
DPMM FC menyertai Liga Singapura sejak tahun 2009. Mereka telah menjuarai SPL sebanyak 2 kali (2015 & 2019) dan juga juara Piala Singapura sebanyak 3 kali (2009, 2012 & 2014).
Musim ini, mereka hanya sempat beraksi dalam satu perlawanan SPL menentang Tampines Rovers pada bulan Mac sebelum liga domestik itu ditunda kerana peningkatan kes wabak COVID-19.
“Sangat malang bahawa Brunei DPMM FC tidak dapat menyambung semula kempen SPL 2020 kerana saya pasti penyokong SPL dan kelab-kelab lain juga ingin menyaksikan juara bertahan mempertahanan gelaran mereka.
“Namun, kami menyedari bahawa ini adalah keadaan yang luar biasa, dan keadaan semasa memberi kami pilihan yang sangat terhad. Kami berharap dapat menyambut mereka kembali musim depan,” kata Presiden FAS, Lim Kia Tong.
Pengurus DPMM FC, Ali Haji Momin akur terhadap peraturan sekatan perjalanan yang dikenakan oleh negaranya sehingga menyukarkan mereka untuk terbang ke Singapura.
“Kami memang tidak sabar untuk mempertahankan gelaran kami musim ini. Namun, di sebalik usaha terbaik kami, ada peraturan perjalanan yang ketat bermaksud kami tidak dapat melakukannya.
“Kami sangat berterima kasih atas kesabaran dan kerjasama daripada FAS selama beberapa minggu terakhir. Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada lapan pasukan lain sepanjang musim ini, dan berharap dapat kembali untuk musim 2021 dengan penuh kekuatan,” katanya.
Baca juga artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalu pautan dibawah.
Ketua Jurulatih Police Tero FC Jelaskan Faktor Kecergasan Punca Sumareh Tiada Dalam Senarai Pemain
Netizen Thai: Liga Malaysia Tidak Mencabar Untuk Diogo, JDT Mampu Juara Lagi Dengan Pemain Sedia Ada
Produk Indonesia, Mills Sport Jadi Pengeluar Jersi Rasmi Tranmere Rovers