Teka-teki mengenai masa depan pemain tengah pasukan negara, Brendan Gan bersama kelabnya, Perak kini terjawab apabila pemain itu sah meninggalkan skuad The Boss Gaurus setelah dua musim beraksi bersama juara Piala Malaysia 2018 itu.
Perkara ini diumumkan sendiri oleh Brendan menerusi satu pengumuman di laman media sosial miliknya pada hari ini dimana beliau menyatakan faktor utama keputusan untuk meninggalkan Perak diambil kerana tidak mencapai kata sepakat bersama Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA). Meskipun tidak menyatakan dengan lebih lanjut, namun ramai pihak percaya PAFA tidak bersetuju untuk memberikan gaji baharu yang diminta Brendan.
💛🖤👋🏽 pic.twitter.com/3xal42NvQM
— Brendan Gan (@brendan_gan) November 28, 2019
Sepanjang menyarung jersi Perak, kejayaan paling manis Brendan Gan bersama pasukan tersebut ialah membantu skuad The Boss Gaurus memenangi trofi Piala Malaysia pada musim 2018 dengan menewaskan Terengganu FC di pentas akhir. Bekas pemain Kelantan itu sekali lagi berpeluang untuk meraih trofi bersama Perak namun skuad bimbingan Mehmet Durakovic itu tewas kepada Kedah di pentas akhir Piala FA musim ini.
Setelah sah meninggalkan Perak, pasukan Selangor disebut-sebut sebagai destinasi seterusnya bagi Brendan Gan pada saingan musim 2020. Sejak saingan Liga Malaysia musim ini melabuhkan tirainya, Selangor dikhabarkan serta-merta memburu khidmat Brendan bagi memantapkan pasukan.
Baca artikel lain mengenai Brendan Gan yang telah kami sediakan di sini:
Brendan Gan Digantung 1 Perlawanan, Terkilan Terlepas Perlawanan Penting Bertemu UAE Tahun Hadapan
Tan Cheng Hoe Puji Brendan Gan, Gesa Pemain Muda Ikuti Jejak Langkah Beliau